WARGA USM RAIKAN KEDATANGAN BULAN RAMADHAN BERSAMA-SAMA
USM, PULAU PINANG, 26 April 2017 - Warga Universiti Sains Malaysia (USM) disarankan untuk mengelakkan pembaziran semasa bulan Ramadhan yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.
Hal ini ditegaskan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, mewakili Naib Canselor USM semasa perasmian Majlis Sambutan Hilal Ramadhan dan Pelancaran Aktiviti Ramadhan 1438H Peringkat USM.
Menurut Adnan, kehadiran bulan Ramadhan diharap mampu melahirkan warga staf yang memiliki keperibadian dan kualiti diri yang unggul untuk mendukung seluruh misi dan visi universiti ini.
"Saya berharap program dan aktiviti yang telah disusun oleh Pusat Islam melalui Jawatankuasa Aktiviti Ramadhan dapat meningkatkan kefahaman dan kualiti sahsiah sebagai seorang muslim dan ia penting supaya pendidikan daripada madrasah Ramadhan mampu diterapkan dalam kehidupan dan budaya kerja di universiti ini," jelas Adnan.
"Nilai kemanusiaan amat penting dalam menjamin kelangsungan hidup manusia dan alam seluruhnya. Kemanusiaan bermakna kita mempunyai belas ihsan dengan berpegang kepada prinsip dan nilai hidup dalam menjaga alam, manusia dan masyarakat seluruhnya selaras dengan teras APEX universiti iaitu Kemanusiaan," tambahnya.
Adnan mengharapkan warga kampus menghayati falsafah Ramadhan al-Mubarak seiring dengan kematangan usia dan tanggungjawab dalam kerjaya.
Sementara itu, menurut Pengarah Pusat Islam USM, Profesor Madya Dr. Sofri Yahya, sambutan Hilal Ramadhan kali ini dibuat lebih awal berbanding tahun sebelum ini. Hal ini kerana Pusat Islam ingin menyampaikan mesej yang jelas bahawa Ramadhan merupakan agenda dan misi yang cukup penting untuk dicapai.
Tambah Sofri, tema pada kali ini ialah 'Ramadhan by Design' yang bermaksud Ramadhan yang direka bentuk untuk memberi hasil dan impak seperti mana yang diharapkan khususnya kepada warga USM.
"Perancangan yang utama ialah merancang untuk mendapat redha dan keampunan Allah supaya dihimpunkan kita semua bersama penghuni syurga di akhirat sana suatu hari nanti," tegas Sofri.
Majlis diserikan lagi dengan persembahan nasyid oleh Ustaz Mohd Fadhly Hasbullah yang lebih dikenali sebagai 'Ustaz Manis' dan Ceramah Hilal Ramadhan oleh Dato’ Ustaz Badli Shah Alauddin yang bertajuk 'Ramadhan Bukan Sekadar Berlapar'.
Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)
- Created on .
- Hits: 1516