HADAPI CABARAN DENGAN BERANI - NAZRU ISMAIL
USM, PULAU PINANG, 14 April 2017 – Di sepanjang 32 tahun berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Timbalan Pendaftar Kanan merangkap Pengarah Pejabat Pengurusan Aset dan Operasi USM, Nazru Ismail, 56, sangat berpegang kepada moto hidupnya iaitu ‘tiada yang mustahil’, hadapi sebarang cabaran dengan berani dan laksanakan tugasan yang diberikan hingga berjaya.
Menurut beliau di dalam sesi Perkongsian Ilmu: Dari Operasi ke Strategis di Dewan Persidangan Universiti baru-baru ini, pelbagai cabaran ditempuhinya bermula daripada zaman belajar di universiti sehingga memasuki alam pekerjaan sebagai staf USM.
“Pengalaman dalam menangani pelbagai isu sepanjang kerjaya saya membuatkan saya menjadi matang dan terus mencari ilmu. Tidak dinafikan cabaran yang dihadapi kadang kala membuatkan saya merasa kurang bersemangat tetapi cabaran itulah sebenarnya mengajar kita untuk terus menggapai impian.
“Nasihat dan pesanan daripada kenalan dan pihak USM menggerakkan saya ke peringkat yang saya berada sekarang. Pesanan mereka membolehkan saya menguruskan kerja harian dengan sistematik, melakukan kerja dengan serius dan penuh kesungguhan, berani mengeluarkan idea, meningkatkan pemikiran strategi dan kesedaran untuk sentiasa membantu pelajar dalam apa jua keadaan,” kata Nazru.
Tambah beliau lagi, sebarang pekerjaan yang dilakukan haruslah dilakukan secara sistematik, menggunakan diplomasi, bertoleransi dan jangan melakukan kerja dengan beremosi.
“Pengalaman yang ada boleh membantu kita mengatasi ketakutan dalam diri kita apabila berdepan dengan sesuatu cabaran dan membolehkan kita memberanikan diri untuk menghadapi cabaran tersebut,” katanya.
Nazru memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir Universiti pada 15 Ogos 1985. Alumni USM ini telah berkhidmat cemerlang dalam pengurusan hal-ehwal pelajar selama lebih 20 tahun sebelum bertukar ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan kemudiannya menerajui Pejabat Pengurusan Aset and Operasi USM.
Teks: Nur Shahidatul Shahira Bt Zakaria (Pelajar Internship PP Komunikasi)
- Created on .
- Hits: 2489