PENMEN 2017: USM TERUS USAHA MARTABATKAN BAHASA MELAYU
USM, PULAU PINANG, 22 April 2017 - Sebagai mendukung seruan kerajaan bagi memastikan Bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa ilmu, buat julung kalinya Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Pertandingan Menterjemah Sekolah-Sekolah Menengah peringkat Pulau Pinang (PENMEN) 2017.
Penyertaan sejumlah 17 buah sekolah menengah terpilih di Pulau Pinang pelbagai aliran memberikan impak besar kepada generasi muda dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara.
Melalui konsep pertandingan, ia terbahagi kepada tiga kategori terjemahan:
1) Bahasa Inggeris - Bahasa Melayu (BI-BM)
2) Bahasa Cina - Bahasa Melayu (BC-BM)
3) Bahasa Tamil - Bahasa Melayu (BT-BM)
Penyelaras Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong berkata, antara matlamat utama penganjuran pertandingan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan terjemahan dalam pembangunan negara.
Tiga teras asas seseorang bagi menguasai terjemahan:
1) Bahasa
2) Budaya
3) Ilmu Bidang
Gabungan ketiga-tiga ini mampu memartabatkan bahasa seterusnya mengungkapkan ilmu yang ada pada bahasa asing kepada bahasa kebangsaan.
Katanya, lulus cemerlang dalam Bahasa Melayu tidak menjamin seseorang pelajar berupaya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Identiti anak Malaysia hanya mampu diilihat sejauh mana penguasaan kita dalam bahasa kebangsaan itu sendiri," tambah Goh.
Objektif USM bagi memastikan Bahasa Melayu sentiasa dimartabat dalam pembangunan bakat:
1) Memandaikan bangsa melalui bahasa kebangsaan
2) Mempopularkan terjemahan sebagai wacana untuk memperibumikan ilmu
3) Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan terjemahan dalam pembangunan negara
4) Memperibumikan ilmu yang diungkapkan dalam bahasa kebangsaan.
Beliau turut berharap kesemua agensi terlibat bersatu hati berusaha ke arah pembangunan negara melalui terjemahan bahasa kebangsaan itu sendiri.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 2239