USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRODUK BRAINY MOO CHOCO DRINKS TERUS MENGORAK LANGKAH MENEMBUSI PASARAN

DSC 0010

USM, PENANG, 22 April 2017 – Majlis Pelancaran Moo Choco Drink baru-baru ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Prof. Dato’ Dr. Adnan Hussein.

Menurut Adnan, pembangunan Keusahawanan USM merupakan laluan bagi siswa-siswi untuk mendalami bidang keusahawanan di samping mendapat segulung ijazah yang bakal diperolehi kelak semasa mereka berijazah.

“Dasar Program Keusahawanan USM bertujuan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran dan nilai keusahawanan yang tinggi disamping melahirkan lebih ramai lagi usahawan siswazah yang bertindak sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi negara,” jelas Adnan.

“Di USM, Pusat Keusahawanan Universiti (PKU) ditubuhkan untuk membantu siswa-siswi dalam merealisasikan modal insan yang berketerampilan dengan nilai keusahawanan ini. Siswa-siswi USM seharusnya menggunakan peluang yang USM sediakan untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya dengan bantuan dan nasihat daripada PKU USM,” tegas Adnan semasa perasmian pelancaran Moo Choco Drink di foyer Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), USM, Pulau Pinang semalam.

Sementara itu, menurut Pengerusi Koperasi Siswa USM Kejuruteraan Nibong Tebal Berhad, Prof. Madya Dr. Ahmad Badri Ismail, inisiatif staf USM dalam menghasilkan satu formula produk minuman koko Brainy Moo telah menarik minat syarikat AsiaOne Produk Manifacturing Sdn. Bhd. dan satu projek incubator telah diberikan oleh AsiaOne kepada KOSISWA USM Kejuruteraan dalam bentuk peralatan dan dana untuk pembangunan produk.

“Harapan saya, dengan penglibatan semua pihak di antara USM, agensi-agensi kerajaan dan agensi luar akan dapat merealisasikan dasar pelajar berteraskan keusahawanan dan program HiPer@Perintis Keusahawan Koperasi ini boleh dijadikan sebagai batu loncatan kepada pelajar dalam menjayakan agenda transformasi ekonomi para pelajar yang akan bergraduasi pada masa yang akan datang,” tegas Badri.

DSC 0006

Brainy Moo Choco Drink, satu-satunya produk ciptaan USM telah berjaya dipilih ke peringkat akhir daripada 150 penyertaan seluruh IPTA dan IPTS terlibat melalui beberapa tugasan yang perlu dilaksanakan termasuk penilaian melalui ‘business pitching video Youtube’.

Antara tugasan akhir yang perlu dilaksanakan oleh USM antara lainnya ialah mencipta video tular yang kreatif dan pemasaran internet yang berkesan bagi tujuan mempromosi dan melebarluaskan produk berkenaan melalui media sosial.

Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan Teater Monolog bertajuk ‘Jual Ubat’ oleh pelakon seni tanah air, Khalid Salleh. Sementara itu, terdapat juga persembahan oleh Adikarma USM dan persembahan teater aksi Si Kucing oleh Dewan Budaya.

Teks: Ruziatun Amirah Ismail

  • Created on .
  • Hits: 1527

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024