ELAK SALUR DARAH TERSUMBAT – DR. SAFARI ELIS
USM, PULAU PINANG, 13 April 2017 – Penyempitan salur darah atau salur darah tersumbat berlaku akibat daripada penyakit kencing manis, darah tinggi, kandungan kolestrol yang tinggi dalam badan, merokok, kegemukan, tidak melakukan senaman, keturunan, golongan lelaki dan umur. Penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kencing manis dan kolestrol tinggi boleh menyebabkan serangan angin ahmar, serangan jantung, kegagalan buah pinggang dan penyakit kaki.
Demikian kata Pakar Jantung, Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Dr. Safari Elis semasa menyampaikan ceramah bertajuk 'Betulkan Jantung Anda' sempena Minggu Kesihatan Sedunia 2017 di Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.
Menurutnya, penjagaan makanan dan aktiviti fizikal harian amat penting untuk mencegah salur darah tersumbat di samping pengambilan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh pihak hospital.
"Penghidap kencing manis, serangan jantung dan strok perlu mendapatkan ubat cair darah di hospital. Ubat cair darah akan mengurangkan rasa melekit darah dan melancarkan pengaliran darah. Sekiranya berlaku penyempitan salur darah pada saluran darah jantung, ia akan menyebabkan serangan jantung manakala salur darah otak tersumbat menyebabkan angin ahmar. Proses kejadian adalah sama tetapi berlaku di tempat yang berbeza,” jelas Safari di hadapan hampir 200 orang pelajar dan staf USM di Bilik Ibnu Sina, Pusat Sejahtera USM.
Kolestrol yang berada di dalam dinding salur darah akan mengalir tanpa ada gangguan kecuali dinding salur darah itu pecah dan akan menyebabkan kolestrol terkeluar seterusnya berlaku pengumpulan darah beku.
Teks: Nur Shahidatul Shahira Bt Zakaria (Pelajar Internship PP Komunikasi)
- Created on .
- Hits: 6956