RCE USM JADI PENGANJUR BERSAMA PERTANDINGAN MIYIO EMPAT TAHUN BERTURUT-TURUT
USM, PULAU PINANG, 18 APRIL 2017 – Pusat Kepakaran Serantau (RCE), Universiti Sains Malaysia (USM) telah dilantik oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh/Kluster, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjadi penganjur bersama pertandingan Malaysian International Young Inventors Olympiad (MIYIO) untuk kali keempat pada tahun ini.
Penglibatan RCE USM dengan MIYIO bermula pada tahun 2014 sehingga kini dan MIYIO merupakan pertandingan projek rekacipta dan inovasi pelajar daripada sekolah menengah dalam dan luar negara. Pada tahun ini, ia dianjurkan oleh Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheik Shahabuddin, Pulau Pinang. Pertandingan MIYIO 2017 kali ini diadakan di Mydin Mall, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang disertai oleh 215 orang peserta dari pelbagai negara.
Peserta MIYIO daripada Lyceum For Gifted Students, Dushanbe, Tajikistan, Asrorov Ehrom dan Somon Sultonov menyatakan kegembiraan mereka berada di Pulau Pinang dan ini merupakan kali pertama mereka datang ke Malaysia dan USM. Mereka yang mencipta E-Number untuk pertandingan MIYIO 2017 kali ini berhasrat untuk menyambung pelajaran mereka di USM dalam pengkhususan Teknologi Industri.
Sementara itu, Nabiela El Rizqa bersama rakannya daripada Semesta Bilingual Boarding School, Indonesia, mencipta ‘Reaching Fisherman Prosperity by Optimizing Wind Energy’ untuk pertandingan ini. Nabiela yang masih menuntut di peringkat menengah rendah berasa teruja ketika melawat USM.
Hampir 60 orang peserta antarabangsa menyertai lawatan ke USM dan mereka diberi pendedahan mengenai USM oleh ahli RCE USM, Dr. Aidiahmad Dewa di Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), USM baru-baru ini.
Yang turut hadir semasa sesi lawatan peserta MIYIO 2017 ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Biologi, Dr. Nurul Salmi Abdul Latip; Timbalan Dekan (Akademik, Pelajar & Alumni) Pusat Pengajian Fizik USM, Professor Dr. Fauziah Sulaiman; Pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri, Dr. Japareng Lalung; Penolong Pendaftar Kanan, Khairul Aswad Abd Aziz; rakan-rakan RCE USM, guru-guru dan peserta MIYIO 2017.
Teks: Nur Shahidatul Shahira Bt Zakaria (Pelajar Internship PP Komunikasi)
- Created on .
- Hits: 1524