USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JADI BAKAT YANG DIINGINKAN INDUSTRI - DATIN SRI BADRUNNISA

DSC 7366

USM, PULAU PINANG, 13 April 2017 - Menyedari pentingnya untuk menimba pengalaman dan kepakaran mengenai industri, Pusat Pengajian Pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan program 'Axiata Challenges Regarding Talent in Today's Globalisation - What We Yearn From You And How Can You Contribute To Assist Us?' di bawah CEO Faculty Programme 2017 dengan menampilkan Ketua Pegawai Bakat, Axiata Group Berhad, Datin Sri Badrunnisa Mohd. Yasin Khan di Dewan Budaya, USM kelmarin.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, program ini adalah platform kerjasama antara universiti dan industri untuk memberi pendedahan mengenai industri kepada staf dan pelajar USM.

DSC 7372

"Dengan adanya program ini, ia memberi pendedahan kepada pelajar untuk memahami kepentingan nilai tambah dalam industri supaya mereka menjadi individu yang diinginkan oleh industri seterusnya membawa kepada peningkatan kebolehpasaran siswazah," kata Asma.

Badrunnisa pula berkata, sepanjang berada di Axiata Group Berhad, terdapat beberapa kelemahan bakat-bakat baru yang dapat dilihat semasa berada di alam pekerjaan seperti kekurangan bakat dalam kepimpinan, bakat tempatan yang tidak didedahkan, sikap yang negatif, ketidakmampuan untuk berkomunikasi dengan baik, tidak kreatif, tidak cuba untuk menyelesaikan masalah yang timbul, tidak proaktif, berfikir alam pekerjaan hanya untuk bekerja dan bukan sebaliknya serta tidak cuba untuk belajar sesuatu yang baru.

"Seharusnya kelemahan-kelemahan sebegini perlu dibaiki dan diubah untuk menjadi bakat-bakat yang berguna kepada industri. Antara yang boleh dilakukan ialah memupuk sikap positif di dalam diri, berupaya bekerja dalam kepelbagaian latar belakang sosial, berkebolehan berkomunikasi dengan baik, sentiasa cuba menyelesaikan konflik yang timbul dan cuba untuk belajar sesuatu yang baru,” katanya.

DSC 7390

Jelas Badrunnisa lagi, mempelajari sesuatu tidak seharusnya terhenti ketika tamat pengajian kerana pelajaran yang terbaik ialah melalui pengalaman semasa bekerja dan sepanjang hidup.

"Perubahan pantas dalam era teknologi menjadikan tabiat untuk belajar sebagai sesuatu yang penting supaya kita tidak ketinggalan dengan kemunculan teknologi-teknologi baru yang lebih canggih kelak," jelasnya di hadapan 350 hadirin yang hadir.

DSC 7397

Yang turut hadir ke program ini ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed; Dekan Pusat Pengajian Pengurusan, Profesor Dr. Fauziah Md. Taib serta ketua jabatan, pensyarah, staf dan pelajar USM.

Teks: Rodiah Md Daud (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 1780

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024