USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGURUSAN TERTINGGI DAN MPPUSM WUJUD PLATFORM BINCANG ISU-ISU TERKINI PELAJAR USM

 DSC 7264

USM, PULAU PINANG, 11 April 2017 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Datuk Dr. Asma Ismail bertekad untuk memastikan mahasiswa mempelajari Revolusi Industri keempat, iaitu menguasai bioekonomi dan ekonomi digital untuk membantu mereka setelah bergraduasi nanti khususnya dalam mencari penyelesaian kepada Matlamat Pembangunan Mapan (SDG).

Demikian kata Asma semasa perjumpaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM bersama Naib Canselor dan pengurusan tertinggi universiti di Dewan Persidangan Universiti (DPU) semalam.

Tambah Asma lagi, beliau berharap MPPUSM dapat menjayakan aktiviti atau program mahasiswa yang memberi impak tinggi dengan sebaiknya berdasarkan platform yang telah disediakan.

“Saya ingin melihat mahasiswa melibatkan diri dalam program-program seperti Makers @ USM, Youth Industrial Bootcamp, program keusahawanan dan kepimpinan berimpak tinggi dan sebagainya,” katanya.

Yang Dipertua MPPUSM, Mohd Hazim Abd Manaf, turut menyeru agar MPP menggunakan platform yang disediakan oleh pihak pengurusan tertinggi bagi mencari penyelesaian terbaik kepada isu-isu berbangkit yang melibatkan mahasiswa USM.

“Perjumpaan yang melibatkan perbincangan dua hala ini merupakan platform terbaik bagi menyuarakan isu mahasiswa selain daripada Dewan Perundingan Pelajar (DPP) yang melibatkan wakil-wakil persatuan sahaja,” tegas Hazim.

Hazim merakamkan rasa syukur kerana Naib Canselor USM sudi membuat perjumpaan berkala bersama MPP bagi mendengar masalah mahasiswa USM.

Sebanyak 10 isu dibangkitkan oleh MPPUSM Kampus Induk, 2 isu oleh MPPUSM Kampus Kejuruteraan, 4 oleh MPPUSM Kampus Kesihatan dan 1 isu oleh MPP Kampus USM-KLE India.

Isu-isu berbangkit itu juga melibatkan beberapa jabatan lain seperti Jabatan Bendahari, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA), Pejabat Aset Dan Operasi (PAO), Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT), Pusat Rancangan Kokurikulum dan sebagainya.

Yang turut hadir TNC HEPA, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, Timbalan Pendaftar Kanan (BHEPA) Tuan Hj. Mohd Saad Din dan ketua-ketua jabatan USM.

Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 1233

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024