USM, THE STAR LANCAR BIASISWA SOO EWE JIN BIAYAI PELAJAR KEWARTAWANAN USM
PETALING JAYA, 7 April 2017 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Datuk Dr. Asma Ismail hari ini menandatangani dokumen ‘Trust Deed’ bersama-sama Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group, Datuk Seri Wong Chun Wai serta isteri kepada mendiang Soo Ewe Jin (bekas Editor Eksekutif The Star), Puan Lim Fong Lan sebagai simbolik kepada pelancaran Biasiswa Soo Ewe Jin (SEJ) yang dikhususkan buat pelajar USM.
Biasiswa SEJ (SEJ Scholarship) ditubuhkan dengan dana berjumlah RM50,000 dan sebagai tambahan, Naib Canselor turut mengumumkan USM akan turut menyumbang dana berjumlah RM50,000 kepada tabung biasiswa tersebut yang dikhususkan kepada pelajar program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi yang memilih pengkhususan Kewartawanan.
Biasiswa SEJ ini ditubuhkan bagi memperingati jasa, ketinggian budi dan impak yang telah diberikan oleh mendiang Soo Ewe Jin khususnya penulisan beliau dalam ruangan Sunday Starters yang telah banyak menyentuh hati rakyat Malaysia tidak mengira bangsa dan agama.
Naib Canselor USM turut menzahirkan rasa terharu di atas pemilihan USM sebagai pemegang amanah biasiswa berkenaan dan komited untuk memilih hanya calon terbaik yang berupaya menyerlahkan potensi sebagai penulis yang dapat menjadi agen perubahan ke arah memperkasakan komuniti melalui penulisan, bersesuaian dengan legasi yang telah diwariskan oleh mendiang Soo Ewe Jin.
Yang turut hadir di majlis yang diadakan di Menara Star itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1296