JERAYAWARA PPS USM PUPUK MINAT MASYARAKAT MENGERTI BIDANG KESENIAN
USM, PULAU PINANG, 31 Mac 2017 - Pusat Pengajian Seni (PPS) Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan karnival Jerayawara untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar yang akan melanjutkan pelajaran dalam bidang seni di USM.
Menurut Timbalan Dekan Akademik Pelajar & Alumni, Dr. Mumtaz Begum Aboo Backer, sebelum program ini diadakan di USM, PPS telah menjelajah ke beberapa buah sekolah di zon utara dan Kelantan dan program ini merupakan salah satu inisiatif utama PPS untuk mempromosikan Pusat Pengajiannya kepada masyarakat sekeliling.
“Semasa kami membuat siri jelajah ke sekolah-sekolah di zon utara dan Kelantan ini, kami mendapati sambutan yang agak luar biasa daripada masyarakat malah kami turut mendapat permintaan untuk meneruskan lagi jelajah ini ke sekolah terlibat untuk tahun mendatang,” jelas Mumtaz.
Tambah Mumtaz lagi, PPS juga mendapat permintaan daripada sekolah di zon utara yang tidak dapat dilawati untuk pihak PPS ke sekolah mereka mengadakan program ini.
Mumtaz berharap supaya program ini memberi manfaat kepada pelajar yang ingin dan berjaya melanjutkan pengajian ke USM supaya memahami syarat dan kelayakan sebenar untuk memasuki USM.
Program ini merupakan kerjasama bersama Dewan Budaya, Unit Kemasukan Pelajar dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan.
Antara aktiviti yang diaturkan di USM untuk program ini ialah sketsa, boria, persembahan tarian Makyong, muzik gamelan dan sebagainya selain para pelajar yang hadir turut didedahkan dengan cara-cara menghadapi temuduga serta persiapan yang perlu dilakukan.
Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar internship PP Komunikasi USM)
- Created on .
- Hits: 1266