USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMIKIR MUDA DIYAKINI LONJAK KECEMERLANGAN USM

IMG 0042

PULAU PINANG, 9 April 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) disifatkan mempunyai masa hadapan yang cemerlang dan mampu merealisasikan transformasi pendidikan tinggi dengan adanya suntikan idea dari pemikir muda.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, beliau mempunyai keyakinan tinggi terhadap kemampuan para pemikir muda untuk melakar perancangan masa hadapan universiti yang lebih cemerlang dan tersohor.

Katanya, USM perlu lebih proaktif untuk merencanakan masa depan dan dalam konteks ini daya pemikiran generasi muda ditagih bagi mengeluarkan idea baru yang segar dan bersesuaian dengan strategi lautan  biru.

IMG 0018tj

``Selaras dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malalysia-Pengajian Tinggi (PPPM-PT) baru-baru ini, Universiti perlu lebih signifikan bagi memacu pembangunan negara berteraskan kepada pendidikan.

``Selaras dengan itu, di bawah Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX), kita telah membangunkan pelbagai agenda yang menyokong usaha untuk memacu kecemerlangan masa hadapan,’’ katanya.

IMG 0015f

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena sesi pembentangan Strategic Thinker for USM Future di sini hari ini.

Turut hadir ke program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan dan TNC Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey.

Mengulas program yang julung kali diperkenalkan itu, beliau berkata, lebih 50 staf muda dihimpunkan bagi membincangkan idea-idea baru yang boleh membantu dalam menggerakkan perancangan masa depan Universiti.

IMG 0034fh

``Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dan kagum dengan percambahan idea-idea baru yang dicetuskan oleh para peserta. Ia sekaligus membuktikan bahawa matlamat APEX kini makin membuahkan kejayaan.

``APEX telah berjaya dimanifestasikan dalam kalangan warga USM dan jika melihat dari aspek nilai, APEX juga berjaya membudayakan kecemerlangan dalam kalangan ahli-ahli akademik dan pentadbir,’’ ujarnya.

Omar juga berkata, daya pemikiran dan kematangan pemikir muda dalam mempersembahkan idea futuristik memberikan satu petanda bahawa Universiti berada pada landasan kecemerlangan serta menuju masa hadapan cerah.

Dalam pada itu, Strategic Thinker for USM Future berperanan sebagai platform untuk para peserta berbincang dan membentangkan idea untuk perkongsian, meliputi tujuh perkara yang dilihat menjadi tonggak Universiti masa hadapan.

Fokus perbincangan meliputi aspek kelestarian kewangan, penyelidikan, pembangunan sumber manusia, akademik, potensi bidang perubatan, perpindahan ilmu serta pembangunan pelajar. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1093

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024