PSR USM ADAKAN SIRI LAWATAN PEMERKASAAN MUTU PEMBANGUNAN SUKAN UNIVERSITI
PULAU PINANG, 30 Mac 2017 - Dalam memperkasakan kecemerlangan sukan dan rekreasi untuk masyarakat kampus, Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti terkemuka di Thailand dalam satu siri lawatan yang singkat baru-baru ini.
Menurut Pembantu Belia dan Sukan USM, Mahadzer Mokhtar, lawatan ini lebih berfokus pada pemerhatian dan perbincangan dari aspek pembangunan dari segi teknikal berkaitan kemudahan sukan.
Selain itu katanya, melalui lawatan ilmiah sebegini, sedikit sebanyak PSR USM memperolehi ilmu pengetahuan baharu untuk penyediaan kemudahan sukan berkaitan polisi dengan lebih terancang, teliti dan efisyen di samping memperolehi pengetahuan dari segi pengoptimuman sumber tenaga serta gerak kerja penyelenggaraan kemudahan sukan dengan lebih berkesan dan sampai ke standard yang lebih tinggi.
"Sesuai dengan jolokan penganjur utama Pesta Bola Jaring Antarabangsa dan Pesta Hoki USM–Penang International saban tahun, lawatan sebegini juga dapat meningkatkan pengetahuan dalam penganjuran sukan berprestij sebegini dengan lebih profesional," jelasnya.
Lawatan Teknikal Kemudahan Sukan ini melibatkan PSR USM bersama Prince Of Songkhla University, Thaksin University, Rajabhat University, Hatyai City Stadium dan Saethong Vittaya School yang memberi fokus kepada kemudahan seperti stadium, kolam renang, balapan dan fasiliti berkaitan.
Tambahnya, melalui lawatan ini, PSR USM juga mengukuhkan jalinan kerjasama dengan institusi yang terlibat dengan program IMT-GT dalam semua aspek termasuk pembangunan sukan pelajar dan staf.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1356