ADIKARMA PLATFORM PELAJAR ASAH BAKAT DALAM BIDANG KEBUDAYAAN
USM, PULAU PINANG, 28 Mac 2017 - Unit Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Universiti Sains Malaysia (USM) bertanggungjawab untuk membuka peluang dan ruang kepada pelajar USM untuk menonjolkan bakat mereka dalam bidang kebudayaan.
Hal ini dinyatakan oleh Pegawai Kebudayaan Kanan BHEPA, Zulkifli Che Hussin yang merupakan penaung dan penasihat kelab kebudayaan USM iaitu Adikarma USM yang menerapkan serta menterjemahkan nilai H.E.B.A.T. kepada pelajar USM melalui aktiviti kesenian dan kebudayaannya.
Katanya, jika seseorang itu mempunyai minat dan kecenderungan di dalam bidang kesenian terutama dalam konteks tarian, muzik atau pengurusan acara, mereka akan diajar dan diasuh apabila menyertai Adikarma dan bukan itu sahaja, mereka juga akan dilatih dan diperkasa ke peringkat yang lebih tinggi jika terbukti mereka mempunyai bakat.
“Ahli Adikarma dididik dan dilatih untuk mempelajari budaya dan kesenian yang ada di Malaysia termasuk tarian Cina, India dan etnik Sabah dan Sarawak,” katanya.
Zulkifli juga memberitahu bahawa Adikarma bukan sahaja telah mengharumkan nama USM, malah pernah mewakili Malaysia ke luar negara seperti di Indonesia dan Thailand dalam mengetengahkan dan memperkenalkan kebudayaan masyarakat Malaysia.
“Di bawah unit Kebudayaan USM, ia menjadi tanggungjawab dalam memastikan bahawa kesenian ini terus subur dan menjadi salah satu nilai tambah kepada mahasiswa dalam konteks pembangunan sahsiah dan pelajar juga mampu menginovatifkan tarian tradisional dan mengekalkan nilai-nilai tradisi ini agar tidak ditelan zaman.
“Unit ini juga akan meningkatkan perkhidmatan kepada pelajar dengan membuka peluang untuk mendapatkan khidmat nasihat; selain itu jika Desasiswa dan persatuan ingin membuat tempahan atau pinjaman kostum untuk kegunaan bagi mana-mana persembahan amatlah dialu-alukan,” ujarnya.
Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar internship PP Komunikasi USM)
- Created on .
- Hits: 2255