USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

YOUTH INDUSTRY BOOTCAMP TINGKAT MINAT PELAJAR DALAM BIDANG STEM

untitledfbxgfb

BUKIT JAMBUL, PULAU PINANG, 22 Mac 2017 - Program Youth Industry Bootcamp 2017 Wilayah Utara anjuran Pusat Kolaborasi Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjaya meningkatkan minat pelajar ke arah laluan kerjaya di dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi (STEM).

Peserta program, Muhammad Aiman Khairul Anuar, 15, dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling, Kedah, berkata, program ini telah meningkatkan minatnya untuk meneroka bidang kejuruteraan, sains dan teknologi dengan lebih mendalam.

“Bagi saya, sesi perkongsian tentang pembelajaran dalam suasana universiti merupakan salah satu tarikan dan semangat kepada peserta untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan ke peringkat universiti.

“Kami berharap program ini dapat diteruskan supaya pelajar seperti kami ini berpeluang mempelajari inovasi daripada orang yang telah berjaya dalam usaha kami mengejar cita-cita untuk menjadi jurutera satu hari nanti,” tegas Aiman.

Sementara itu, Aisyah Adriana Azizul Fitri, 15, pula berkata, kem ini membuka mindanya terhadap masalah-masalah yang dialami oleh dunia pada waktu sekarang dan mengeluarkan idea-idea yang kreatif untuk cuba menyelesaikan masalah-masalah tersebut.

“Melalui ceramah yang diberikan oleh pensyarah-pensyarah USM diharapkan kami dapat mempraktiskan apa yang dipelajari dalam kehidupan harian kami dan menjadi seperti mereka suatu hari nanti,” kata Aisyah dari MRSM Kubang Pasu, Perak.

Seramai 108 peserta dari 17 buah sekolah telah mengikuti kem selama empat hari tiga malam serta menjalankan pelbagai aktiviti yang telah disediakan seperti sesi perkongsian bersama penyelidik muda dan pensyarah USM dalam bidang sains.

Turut diadakan sesi perkongsian oleh Naib Presiden Kanan Pengurusan Penyelidikan CREST, Dr. Norazmi Alias dan penyampaian hadiah bagi pemenang-pemenang pertandingan yang telah diadakan.

Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 1372

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024