MPPUSM SEDIA PLATFORM PELAJAR TAMBAH ILMU PENGETAHUAN BERSAMA PEMIMPIN INDUSTRI
USM, PULAU PINANG, 19 Mac 2017 - Seseorang haruslah mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan luas, dan mempunyai keinginan dalam hidup yang akan memberi motivasi kepada diri kita sendiri untuk berjaya suatu hari nanti.
Demikian tegas bekas Pengarah Pengurusan dan Naib Presiden Altera Corporation (M) Sdn. Bhd, Dato’ Dr. Mohd Sofi Osman dalam program Ideas. Inspirations. Insights (3i) yang diadakan di Dewan Pembangunan Siswa 1 (DPS 1) Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM sidang akademik 2016/2017.
“Kita juga haruslah bersedia untuk mengambil risiko dalam sebarang bidang yang kita ceburi dan menyelesaikan sesuatu isu dengan cara yang paling diplomatik," katanya.
“Kita juga haruslah memanfaatkan setiap peluang yang datang di hadapan kita dan seseorang itu perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi kerana ia merupakan kunci kepada seseorang untuk berjaya suatu hari nanti," jelas Mohd Sofi.
Sementara itu, Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr. Asma Ismail pula begitu teruja dengan kehadiran pelajar USM yang memenuhi DPS 1 pada malam tersebut, dan program ini dirancang berasaskan perancangan tahunan yang menjurus kepada aspek kepimpinan dalam mentadbir urus dengan lebih baik.
"USM merupakan tempat mengalakkan percambahan idea-idea baru dan bertujuan untuk membangunkan pemimpin hebat dalam kalangan pelajar pada masa akan datang.
“Program ini bertujuan untuk mendalamkan sifat kepimpinan, keusahawanan, pengetahuan dan memupuk penyertaan belia secara aktif dalam pentadbiran yang baik serta memenuhi tuntutan revolusi perindustrian pada masa hadapan.
"Program ini juga sebagai platform dan inspirasi kepada pelajar untuk mendedahkan sifat-sifat mereka sebagai bakal pemimpin masa depan," jelas Asma lagi.
Tambahnya, kita seharusnya mempunyai matlamat dan halatuju yang sebenarnya sebagai mahasiswa USM dalam menentukan masa hadapan pada zaman kini.
Naib Canselor USM juga merakamkan sekalung tahniah kepada MPPUSM kerana telah menganjurkan program sebegini dan berharap program sebegini berterusan demi pelajar USM.
Menurut Pengarah Projek 3i, Mohd Uzair Ahmad, 3i merupakan satu program lain dari yang lain dengan membawa orang yang berpengalaman dalam bidang industri untuk memberi pendedahan ilmu kepada para pelajar USM.
“Program ini juga memberi manfaat dan peluang kepada para pelajar untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang pendidikan.
"Kami di barisan MPP berharap agar program ini dapat diteruskan dan pelajar perlu lebih bijak dalam mengambil peluang untuk menjadi mahasiswa yang lain daripada yang lain kerana mereka adalah pemimpin kepada diri mereka sendiri,” tegas Uzair selaku Naib Yang Dipertua 1 MPPUSM sidang akademik 2016/2017.
Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)
- Created on .
- Hits: 1145