KUSISDARI TEROKA UNIVERSITI HOKKAIDO
Kumpulan Siswa-Siswi Darul Ridzuan (KUSISDARI), Universiti Sains Malaysia (USM) meneroka Universiti Hokkaido (UH), Jepun dalam berkongsi ilmu serta pengalaman para pelajar di peringkat global.
Penasihat KUSISDARI, Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata kali ini pemilihan UH adalah kerana jalinan kerjasama yang telah wujud sekian lama di samping reputasi UH sebagai salah sebuah universiti terbaik di Jepun.
“Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan global kepada pelajar USM serta saling bertukar idea dan pengetahuan bersama pelajar UH,” tambahnya yang juga Pengarah, Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), USM.
“Harapan saya agar para pelajar mendapat manfaat dari program sebegini serta merasai pengalaman di luar negara yang mampu membuka minda dan pemikiran pelajar supaya lebih global dan positif,” ujar Wan Ahmad Jaafar.
Delegasi ini yang merangkumi 15 orang Ahli Jawatankuasa Eksekutif KUSISDARI bagi sidang akademik 2016/2017 turut mempersembahkan tarian 1Malaysia dengan lengkap berkostum tradisional serta seni tari silat.
Timbalan Pengarah Eksekutif, Institut Kolaborasi Antarabangsa UH, Profesor So Kawanobe menyambut baik hasrat USM dalam perkongsian amalan terbaik setiap universiti sama ada mengenai sistem pendidikan mahupun aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dijalankan.
Hokkaido University yang dibina pada tahun 1876 adalah salah sebuah universiti penyelidikan di Jepun serta menawarkan pelbagai program di peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah tinggi termasuk Undang-undang, Ekonomi, Perubatan, Kejuruteraan dan Pergigian.
Teks dan foto sumbangan: Prof. Madya Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya
Suntingan: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 2152