ANUGERAH PINGAT TUNKU 2016: GRADUAN USM PEMENANG PINGAT EMAS
KUALA LUMPUR, 20 Mac 2017 – Seorang graduan dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengharumkan nama universiti apabila dipilih sebagai penerima pingat emas Anugerah Pingat Tunku 2016.
James Lian Yoon Chen, 24, graduan ijazah Sarjana Muda Doktor Pergigian dengan Kepujian dari Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) USM muncul sebagai graduan ijazah sarjana muda yang paling cemerlang, mengatasi dua lagi graduan cemerlang ijazah sarjana muda dari institusi pendidikan tinggi (IPT) yang lain.
Majlis penganugerahan pingat tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Idris Jusoh, yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tunku Abdul Rahman, di Memorial Tunku Abdul Rahman di sini hari ini.
Dalam ucapannya, YB Menteri Pendidikan Tinggi menyampaikan harapan beliau agar penerima-penerima Pingat Tunku dapat menggunakan ilmu dan kepakaran mereka untuk terus menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara dan masyarakat.
Sementara itu, Yoon Chen ketika dihubungi, melahirkan rasa gembiranya yang tidak terhingga kerana dipilih sebagai penerima pingat emas anugerah Pingat Tunku.
“Saya tidak akan lupa dengan pengalaman yang USM berikan dalam mencorak kehidupan saya, dan saya akan terus berusaha agar cemerlang dalam setiap bidang yang saya ceburi termasuk dalam profesion saya sebagai doktor pergigian sejajar dengan aspirasi YTM Tunku Abdul Rahman dan matlamat diperkenalkan anugerah ini,” katanya.
Dengan kemenangan itu, Yoon Chen menerima hadiah emas padu 32 gram beserta wang tunai RM5,000.
Anugerah Pingat Tunku yang telah diperkenalkan sejak 1979, diberikan oleh Yayasan Tunku Abdul Rahman kepada graduan kelas pertama ijazah sarjana muda dari kalangan graduan IPT tempatan yang telah mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
Selain kecemerlangan akademik, pencapaian yang tinggi dari segi kokurikulum dan kepimpinan juga diambilkira sebagai kriteria pemilihan.
Pingat perak dimenangi oleh Hanisah Hassan, graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri (MBBS) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) manakala Muhammad Khairul Adib Muhammad Yusof, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik) dengan Kepujian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima pingat gangsa.
- Created on .
- Hits: 2180