PPIP DAN PUSAT ISLAM LAKSANA PROJEK BUBUR LAMBUK BANTU PELAJAR KURANG BERKEMAMPUAN
USM, PULAU PINANG, 17 Mac 2017 - Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) telah menjalankan projek jamuan 'sabil' iaitu pemberian bubur lambuk yang diberikan secara percuma setiap minggu sebelum solat Jumaat di Masjid Al-Malik Khalid, USM.
Penyelaras Projek, merangkap Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Unit Keagamaan dan Pembangunan Komuniti, Ustaz Mohd Fakrur Amirul Mohd Rodzi berkata, projek ini dapat membantu meringankan beban pelajar yang kurang berkemampuan.
"Jamuan bubur lambuk ini juga dapat mengimarahkan masjid melalui kunjungan orang ramai untuk menikmati juadah ini serta dapat menggalakkan orang ramai untuk datang awal ke masjid dan mengambil kesempatan beri'tikaf di masjid,” katanya.
Tambah Amirul lagi, apabila projek seperti ini dilakukan, ia mampu membuka mata orang ramai untuk memberi sumbangan dari segi tenaga dan kewangan bagi membantu lebih ramai pihak yang memerlukan.
"Diharapkan projek seperti ini akan terus berkembang maju dan berterusan sehingga mampu menjadi sebuah jamuan yang lebih besar," kata Amirul.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pelajar Ilmu Pendidikan (PPIP), Mohamad Yusuf Omar pula berkata, seramai empat orang Exco dan ahli majlis tertinggi persatuan membantu dalam menyiapkan bahan-bahan seperti memotong sayur manakala kerja memasak dilakukan oleh ahli Pusat Islam sendiri.
"Diharapkan lebih banyak pihak yang tampil mempelbagaikan bantuan pada masa akan datang bagi membantu pihak yang memerlukan," kata Yusuf.
PPIP yang diselia oleh Tuan Haji Dr. Mohd Norawi bin Ali banyak membantu Pusat Islam dari segi sumbangan tenaga dan kewangan dalam projek ini.
Teks: Rodiah M. Daud (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)
- Created on .
- Hits: 2025