CAREER FAIR TERUS KUKUH; 70 PEMPAMER AMBIL BAHAGIAN
PULAU PINANG, 15 Mac 2017- Penganjuran acara tahunan melibatkan interaksi majikan dan bakal graduan, Career Fair 2017 disifatkan terus kukuh dan berjaya menarik minat lebih 70 pempamer dalam kalangan syarikat tempatan dan antarabangsa.
Antara yang mengambil bahagian pada penganjuran edisi ke-11 itu adalah SanDisk, Sony, Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd (YTL), Bosch, Honeywell, Hong Leong Manufacturing Group, Plexus, Gamuda dan pelbagai lagi.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, bakal graduan disaran untuk memperkasakan diri dengan menguasai kecemerlangan akademik untuk kekal kompetitif dalam lapangan kerjaya kelak.
Pun begitu katanya, kecemerlangan akademik perlu disertai dengan sikap yang betul dan mahasiswa digalakkan untuk menambah kemahiran soft skills termasuk dalam aspek komunikasi, cara pergaulan, cara bekerja dalam satu pasukan dan sebagainya untuk menyerlahkan kemampuan masing-masing ketika diberi amanah.
“USM memperkenalkan HEBAT (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate & Thinker) yang menggambarkan mahasiswanya, justeru mahasiswa perlu mengasah kecemerlangan dalam setiap aspek itu dan berupaya keluar menyumbang untuk membina masa hadapan negara yang lebih terbilang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika hadir meraikan para peserta dalam Gala Dinner Career Fair 2017 di sini semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein; TNC Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed; TNC Akademik dan Antarabangsa, Profesor Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan pegawai-pegawai utama universiti.
Career Fair turut menjadi paltform komunikasi dua hala dengan industri bagi mendapat nasihat tentang kesedaran kerjaya, latihan industri dan pekerjaan, selain memberi panduan dalam mencorak masa hadapan mereka dalam lapangan kerjaya yang bakal diceburi.
Pengarah Projek Career Fair 2017, Yiauw Ding Ye pula berkata, Career Fair kali ini memfokuskan untuk memupuk mahasiswa melalui program pembangunan bakat bagi dipadankan dengan keperluan industri semasa dalam pasaran kerja.
“Ia menjadi keutamaan kami untuk berkhidmat kepada masyarakat kampus. Saya ingin merakamkan terima kasih kepada syarikat yang mengambil bahagian dan para penaja yang menaja bagi Career Fair kali ini.
“Harapan kami adalah untuk membantu pelajar-pelajar USM dalam mendapat pelbagai peluang demi masa depan mereka serta mengeluarkan potensi sebenar mereka dan mencipta masa depan mereka,” jelas Ding Ye.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1012