MGTF ANJUR PAMERAN KARYAWAN BERPENGALAMAN PULAU PINANG
USM, PULAU PINANG, 14 Mac 2017 – Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia (MGTF USM) menganjurkan pameran anak tempatan Pulau Pinang yang bertajuk ‘2 Otai Melayu Pulau Pinang’ yang menampilkan hasil lukisan daripada dua karyawan yang berpengalaman Abdul Rashid Abdul Razak dan Shamsul Bahari.
Pameran yang bermula dari 6 Mac ini akan berakhir pada 31 Mac menonjolkan hasil seni anak Melayu Pulau Pinang yang masih bergiat cergas menghasilkan karya seni halus hingga kini.
Menurut Pengarah MFTG USM, Zolkurnian Hassan, pameran ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman melukis bersama dengan generasi muda melalui aktiviti yang dijalankan.
“Sebanyak 105 lukisan daripada kedua-dua pelukis ini kita bawakan dan pengunjung yang berminat untuk membeli lukisan tersebut boleh terus menghubungi pihak MGTF,” tambahnya ketika berucap di majlis perasmian pameran tersebut di sini, baru-baru ini.
Program juga diserikan dengan lawatan melihat pameran dan juga persembahan seni silat oleh kumpulan Pesilat Pulau Pinang.
Perasmian pembukaan ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Balai Seni Lukis Pulau Pinang dan Ahli Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, En. Lee Khai.
Untuk maklumat lanjut mengenai pameran ‘2 Otai Melayu Pulau Pinang’, orang ramai boleh menghubungi pihak MGTF USM di talian 04-653 4786 / 04-653 4789.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 954