USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KESEDARAN MENGENAI KANSER KEPALA DAN LEHER, CEGAH SEBELUM PARAH

KOTA BHARU, 14 Mac 2017 – Kanser kepala dan leher melibatkan kawasan bibir, mulut, lelangit, hidung, farinks, larinks dan telinga serta kawasan kelenjar air liur utama parotid dan submandibular.

Sama seperti penyakit kanser yang lain, kesedaran mengenai pencegahan dan pengesanan awal kanser kepala dan leher adalah amat penting.

Perkara ini dinyatakan oleh Pakar Bedah Kepala dan Leher, Jabatan Otorinolaringologi (ORL), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Norhafiza Mat Lazim ketika bercakap dalam temubual bersama radio tempatan dalam Program Doktor Di Radio yang bertajuk “Kanser kepala dan leher” di sini baru-baru ini.

Tambah Norhafiza, kanser ini sememangnya popular dan sering diperkatakan seperti kanser paru-paru, payudara mahupun usus besar. Namun, kanser kepala dan leher kurang diberi perhatian walaupun ia merupakan penyakit yang lazim dihidapi penduduk di negara ini serta Asia Tenggara.

“Punca sebenar terjadinya kanser ini tidak diketahui. Walau bagaimanapun, ada yang dikaitkan dengan faktor keturunan seperti kanser pangkal hidung.

Selain dari itu, faktor-faktor penyumbang termasuklah amalan merokok, mengambil minuman beralkohol, makan sirih, kapur atau gambir, penjagaan mulut yang tidak sempurna, jangkitan virus dan sebagainya.

Menurutnya, tanda-tanda kanser kepala dan leher ialah bengkak pada leher atau anggota yang terlibat, luka yang tidak sembuh melebihi 2 minggu, pendarahan hidung yang lambat berhenti kecuali ada penyebab seperti trauma, sukar bernafas akibat penyempitan saluran pernafasan, sukar atau sakit semasa menelan, mata kabur atau nampak berbayang, gigi reput atau mudah tanggal, hidung tersumbat, telinga bernanah dan berdarah, perubahan pada suara, batuk berdarah, juling yang bukan semulajadi atau sejak lahir serta sakit kepala yang berterusan.

“Jika terdapat tanda-tanda tersebut di atas, pesakit perlu berjumpa dengan doktor untuk rujukan kepada pakar Otorinolaringologi atau doktor pergigian bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.

“Kanser jenis ini mempunyai peluang baik untuk sembuh jika mendapat rawatan di peringkat awal. Sedikit tisu akan diambil untuk pemeriksaan makmal bagi pengesahan jenis kanser yang dihidapi.

“Pemeriksaan pengimejan juga dilakukan untuk penentuan tahap penyakit yang dialami, sama ada setempat atau telah merebak ke bahagian lain,” tambah Norhafiza.

Katanya, doktor akan memberi penerangan dan cara rawatan bersesuaian dengan status penyakit kanser yang dialami. Rawatan penyakit kanser bergantung pada jenis kanser tersebut dan tahap penyakit yang dialami. Terdapat empat kemungkinan untuk rawatan kanser iaitu pembedahan, radioterapi, kemoterapi  dan gabungan kesemua rawatan yang dilakukan.

Tambah beliau, kadar kesedaran masyarakat untuk mencegah kanser kepala dan leher di Malaysia telah meningkat tetapi masih belum mencapai tahap yang memuaskan dan mereka yang mengalami kanser ini adalah kerana tidak pernah menjalani saringan secara teratur.

Teks/Foto: Wan Salizawati Wan Ismail

  • Created on .
  • Hits: 1528

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024