BUDAYA INSTITUSI DAN MASYARAKAT PENTING SOKONG KECEMERLANGAN PENYELIDIKAN
USM, PULAU PINANG, 14 Mac 2017 - Budaya yang ada dalam sesebuah institusi dan masyarakat adalah penting dalam memacu kecemerlangan penyelidikan.
Hal ini dinyatakan oleh penyelidik yang diiktiraf sebagai seorang Top Research Scientist Malaysia (TRSM) dan pakar dalam Reaction Engineering & Catalysis, Pemantauan dan Kawalan Pencemaran Udara (Air Pollution Monitoring and Control), Teknologi Tenaga (Fuel Technology) dan Teknologi Nano (Nanotechnology) Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam sesi perkongsian pengalamannya melalui wacana ilmu bertajuk Budaya dan Penyelidikan dengan kira-kira 100 orang ahli akademik dan pentadbir di sini.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Sains Malaysia (USM) itu, budaya dimaksudkan mengikut kamus sebagai tamadun dan peradaban atau seni dan manifestasi lain sebagai pencapaian intelektual insan, idea, tingkahlaku sosial manusia dalam sesebuah masyarakat, perlu difahami untuk membantu dalam meningkatkan kecemerlangan penyelidikan negara.
Abdul Rahman yang berpengalaman luas dengan pencapaian cemerlang di dalam dan di luar negara menganggap kecemerlangan penyelidikan dapat dicapai melalui sokongan kuat pelbagai pihak dalam institusi mahupun dalam amalan kehidupan masyarakat untuk membolehkannya dilakukan secara berfokus dan memenuhi keperluan semua pihak dan pemegang taruh.
“Seseorang itu melakukan penyelidikan bukan hanya untuk memenuhi keperluan akademia, untuk mendapatkan gelaran doktor falsafah atau memenuhi kehendak penyelianya, tetapi juga perlu mempunyai minat yang mendalam dalam sesuatu bidang dalam konteks sains sebagai ilmu dengan penerokaannya menjadi satu keperluan sepanjang hayat yang digerakkan oleh sesuatu sebab yang khusus dari dalam diri serta memenuhi keperluan institusi mahupun pelbagai pihak tertentu termasuk industri,” kata beliau.
Menurut Abdul Rahman, memenuhi keperluan institusi amat penting yang mengatasi keperluan sendiri atau individu kerana seseorang itu boleh datang dan pergi, tetapi institusi akan kekal di situ dalam memberikan sumbang baktinya kepada pembangunan ilmu, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya.
Tegas beliau, selaras dengan itu, usaha penyelidikan amat penting dalam menjana ilmu pengetahuan, apatah lagi dalam kalangan ahli akademik, yang tugasnya bukan sekadar menyampaikan tetapi berusaha untuk menjananya serta berkongsi pula hasilnya dengan pelbagai pihak lain.
“Seseorang penyelidik juga perlu menghasilkan penulisan untuk jurnal malah kini memastikan penulisannya dirujuk dan dijadikan sitasi oleh pelbagai pihak lain juga amat penting yang menunjukkan relevannya usaha yang dibuat yang seharusnya menunjukkan perkembangan dan kemajuan ilmu terkini yang bukan sekadar memenuhi bilangan penulisan yang dihasilkan dalam syarat perkhidmatan tertentu termasuk kenaikan pangkat.
Tambahnya, semua pihak pada semua peringkat termasuk kakitangan kumpulan sokongan dalam sesebuah institusi seperti universiti perlu menyokong usaha ini dalam memastikan persekitaran dan budaya yang wujud akan membantu usaha yang dibuat, misalnya berusaha menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul dan bukan hanya menunggu atau meminta penyelidik untuk mencari penyelesaiannya bagi hal-hal logistik dan pentadbiran.
Menurut Abdul Rahman lagi, usaha penyelidikan penting dalam membantu pelbagai pihak menyediakan fakta dan data yang sahih dalam menyelesaikan masalah masa kini dan masa hadapan sebagai satu amanah besar yang perlukan sokongan kepimpinan yang hanya akan dapat dilakukan dengan cemerlang dalam satu pasukan dengan budaya yang saling membantu untuk membuahkan kejayaan.
“Kerana itu, para penyelidik terutamanya calon ijazah tinggi, perlu mempunyai sikap, ilmu dan kemahiran (attitude-skill-knowledge) yang tinggi terutamanya dari segi sikap seseorang itu dalam menghasilkan tugasannya secara berfokus, bersungguh-sungguh agar dapat memberi impak besar hasil dari usaha yang dibuatnya,” kata beliau lagi.
Abdul Rahman juga mengingatkan semua pihak bahawa penyelidikan yang dibuat mestilah relevan agar dihormati dan dirujuk untuk diterima termasuk pihak industri yang berfikiran jauh ke hadapan apatah lagi geran penyelidikan banyak ditawarkan oleh pelbagai pihak bagi memenuhi keperluan mereka.
“Oleh itu penyelidik juga perlu sentiasa mendekati industri, peka terutamanya dalam konteks k-ekonomi kesan dari Revolusi Keempat (4th Revolution) serta keupayaan sesetengahnya diterjemahkan untuk kegunaan masyarakat dan industri seperti mana hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menjayakan penyelidikan translasional bagi membantu pembangunan ekonomi dan sosial secara berterusan,” kata beliau lagi.
Beliau meminta agar para penyelidik dan semua pihak memahami pentingnya mewujudkan budaya yang dapat menyumbang kepada kecemerlangan penyelidikan seperti ketepatan waktu, berdisiplin, melakukan dengan penuh amanah, berintegriti dan beretika dan mempunyai kesungguhan dalam diri dengan mencontohi amalan yang ada di pelbagai institusi dunia di negara maju termasuk Jepun mahupun negara-negara Barat dengan suasana yang kondusif untuk menyokong kepada kecemerlangan penyelidikan.
“Kita melihat bagaimana keseronokan saintis dan para penyelidik di sana melakukan usaha mereka, sanggup bersengkang mata dan menumpukan sepenuh usaha dalam melakukan penyelidikan, menghormati para penyelia dan ilmuwan serta mempunyai adab keilmuan yang tinggi untuk menjayakan usaha ini,” kata Abdul Rahman.
Tegasnya, pelbagai institusi di negara-negara maju mengiktiraf dan menghormati kesungguhan para penyelidik dari Malaysia melakukan penyelidikan di sana dengan menuruti budaya yang ada, namun apabila berada di negara sendiri, sesetengah penyelidik kita mengambil mudah dan tidak lagi mengamalkan budaya dan cara kerja yang sama demi mencapai kecemerlangan yang diingini.
Wacana Ilmu Budaya dan Penyelidikan dianjurkan oleh Pusat Transformasi Insan USM yang memberi peluang kepada warga universiti dan masyarakat berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang dalam memacu kecemerlangan universiti.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1423