PELAJAR USM RAI ANAK-ANAK YATIM
PULAU PINANG, 13 Mac 2017 - Kelab Kerja Sosial dengan kerjasama Kelab Penyayang Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan Program Khidmat Komuniti bersama Anak-Anak Yatim di Wisma Anak Yatim Islam Perempuan, Pulau Pinang baru-baru ini.
Menurut Penasihat Kelab Kerja Sosial, Dr. Paramjit Singh Jamir Singh, program ini mengutamakan perkongsian ilmu dan sesi motivasi bagi menaikkan semangat anak-anak yatim ini supaya berusaha memperoleh kejayaan pada masa hadapan.
"Melalui interaksi mereka dengan fasilator, ia mampu mengurangkan rasa kesunyian dalam kalangan mereka," kata beliau.
Sementara itu, Pengarah Projek, Nor Izzati Mohd Din pula berkata, program ini adalah salah satu usahasama kelab untuk berkongsi ilmu dan memberikan motivasi kepada anak-anak yatim untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.
Tambahnya, program ini juga dapat memberi peluang kepada anak-anak yatim untuk berkongsi perasaan suka-duka mereka dalam kehidupan melalui aktiviti riadah bersama pelajar USM.
Yang di-Pertua Kelab Kerja Sosial, Nur Syahirah Ahmad Bastari pula menegaskan program ini bukan sahaja memupuk sikap keprihatinan dalam jiwa pelajar malah melahirkan pelajar yang berkompetensi apabila berhadapan dengan situasi yang berbeza.
"Antara perkara yang menyentuh hati kami ialah apabila ada di antara anak-anak yatim ini yang tidak mahu melepaskan tangan dan pelukan serta ingin mengikut kami pulang sehingga duduk di dalam kenderaan yang kami naiki," kata Syahirah.
Program ini melibatkan seramai 25 orang pelajar/fasilitator dari USM dan 33 orang anak yatim.
Teks: Rodiah Binti Md Daud (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)
- Created on .
- Hits: 1770