MAHASISWA DISERU SUMBANGKAN IDEA DEMI PEMBANGUNAN NEGARA
USM, PULAU PINANG, 12 Mac 2017 - Generasi muda terutamanya mahasiswa universiti diseru agar dapat memperbanyakkan sumbangan idea bernas dan positif buat kerajaan demi pembangunan negara di masa akan datang.
Itu harapan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato' Seri Dr. Hilmi Hj. Yahaya yang mahukan generasi muda membantu negara menyalurkan idea kreatif dan inovatif bagi memastikan Transformasi Nasional 2050 dicapai dengan jayanya.
"Menjadi harapan kerajaan jika semua anak muda berbilang bangsa membantu kerajaan dengan idea bermanfaat melalui pelbagai medium dan arus media," katanya.
Tambahnya lagi, melalui media sosial yang berkembang pesat kini harus digunakan sebaik mungkin untuk mahasiswa berinteraksi dan berkomunikasi mencari hala tuju negara yang boleh diketengahkan kepada kerajaan.
Beliau hadir berucap ketika merasmikan Majlis Sambutan Pesta Amal Tahun Baru Cina USM 2017 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM. Majlis itu turut dimeriahkan dengan penglibatan 19 institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, antaranya Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Putra Malaysia, Universiti Tunku Abdull Rahman, Multimedia University, Heriot Watt University Malaysia dan sebagainya.
Turut hadir adalah Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof. Dato' Dr. Adnan Hussein; Pengarah Projek Pesta Amal Tahun Baru Cina USM 2017, Cheng Wai Hoe dan Pegawai-Pegawai Utama Universiti.
Pada majlis yang sama, Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail berkata sambutan kali ke-11 Pesta ini merupakan titik permulaan baharu selepas sedekad dianjurkan di samping memperkenalkan inovasi dalam mengekalkan tradisi dan budaya bangsa Cina kepada mahasiswa USM.
"Di samping mahasiswa berpeluang melibatkan diri sebagai ahli jawatankuasa, program ini juga dapat mencungkil bakat dan memupuk hubungan silaturrahim antara rakyat berbilang bangsa seterusnya meningkatkan semangat perpaduan yang terjalin selama ini," kata Asma.
Pesta tahun ini yang bertemakan "MAI UNION" menampilkan pelbagai persembahan dan keunikan budaya bangsa Cina, berlangsung dengan meriah sekali dan dihadiri hampir 2,000 penonton dari kalangan warga kampus dan luar kampus.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1255