USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERMOHONAN UPU DILANJUTKAN KE 5 APRIL 2017

IMG 0253

USM, PULAU PINANG, 4 Mac 2017 – Permohonan kemasukan ke universiti awam (UA) melalui saluran UPU Online dilanjutkan sehingga 5 April depan bagi memberi peluang kepada pemohon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan pengumuman keputusan peperiksaan itu yang agak lewat.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Nik Ali Mat Yunus membuat pengumuman itu ketika berucap merasmikan Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2017 Zon Utara di Padang Kawad, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

kptn1

kptn2

Nik Ali juga berkata, KPTN diadakan dengan matlamat memberi peluang kepada pelajar lepasan SPM, STPM, Diploma, Asasi, Matrikulasi dan orang ramai untuk mendapatkan panduan serta maklumat terperinci daripada universiti awam dan swasta serta agensi awam yang menyertai pameran pendidikan hari ini.

Katanya, sebanyak 20 Universiti Awam, 47 Universiti Swasta dan 43 Agensi terlibat dalam pameran di KPTN dan ia menjadi pusat sehenti untuk pelajar lepasan SPM, STPM, Diploma, Asasi, Matrikulasi dan orang ramai mendapatkan pelbagai informasi bagi mencorak masa depan mereka.

“Objektif KPT adalah memastikan 200,000 pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di IPT tempatan di peringkat diploma, ijazah dan lepasan ijazah menjelang 2020.

IMG 0317

IMG 0306kptn

“KPT juga berhasrat untuk meningkatkan hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi tempatan dengan institusi pendidikan tinggi luar negara serta institusi penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan dalam mengambil langkah demi langkah memikirkan potensi, sasaran, wawasan dan hala tuju pembangunan ke arah tahun 2050 kelak,” ujarnya.

Tambah beliau, program ini merupakan salah satu usaha berterusan dalam melahirkan bakat yang memiliki minda kelas pertama untuk menghadapi cabaran pembangunan ekonomi yang berlandaskan ilmu pengetahuan dan inovasi.

IMG 0320

Majlis turut dihadiri Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Naib-naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pengarah-pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti, Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, Pegawai Kanan IPTA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti.

IMG 0341

IMG 0377

IMG 0360

Pelbagai aktiviti dan pameran dijalankan seperti keusahawanan pelajar, pameran sains dan inovasi, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling, seminar kemasukan pelajar untuk kaunselor sekolah, career talk, pameran kesihatan dan pergigian, pemeriksaan kesihatan dan mamogram percuma serta kempen derma darah.

Teks: Nur Shahidatul Shahira bt Zakaria (Pelajar internship PP Komunikasi USM)

Suntingan: Marziana Mohamed Alias & Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1910

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024