USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPT SERLAHKAN KEUNIKAN SEMPENA KPTN 2017

IMG 0490

USM, PULAU PINANG, 4 Mac 2017 - Universiti Awam dan universiti-universiti swasta tanahair menyerlahkan keunikan institusi masing-masing bagi menarik pelajar mengikuti pengajian tinggi dan mencorakkan masa depan mereka bersempena penganjuran Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2017 di sini hari ini.

Pengurus Penjenamaan Strategik dan Komunikasi Universiti Teknologi Petronas (UTP), Zulkarnain Abdul berkata, UTP cuba untuk mempromosikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memupuk minat dalam kalangan pelajar, seterusnya membantu negara mencapai taraf sebuah negara inovasi menjelang tahun 2020.

IMG 0469

IMG 0498

"Petronas banyak melabur dalam industri minyak dan gas di Malaysia dan juga di luar negara. Justeru UTP menggalakkan pelajar mengikuti pengajian di sini dan mengambil peluang untuk membina kerjaya dalam pelbagai rangkaian syarikat ini," kata Zulkarnain.

Timbalan Pengarah Jabatan Akademik Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Fadzil Bin Jummar pula berkata, uniknya UIAM adalah kerana menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan selain wajib mengambil bahasa Arab dan lulus subjek berkenaan.

kptn789

IMG 0513

kptn90

“Kursus-kursus yang ditawarkan di UIAM adalah dalam pelbagai cabang ilmu termasuk aliran sains, sastera dan juga agama. Ia seimbang dan paling penting untuk mencapai manfaat kehidupan dunia dan akhirat," kata Fadzil.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Bahagian Kemasukan Pelajar Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM), Muhamad Khaidzir Lokman, berkata berbeza dengan universiti lain, kebanyakan pelajar dari UPNM akan direkrut untuk menjadi pegawai tentera dan bekerja sambil belajar.

"Pelajar bukan sahaja belajar akademik semata-mata malah merangkumi aspek keselamatan dan pertahanan," kata Khaidzir.

Mewakili IPT swasta, Ketua Pembangunan Perniagaan dan Kolaborasi Hicom University of Automotive Malaysia (DRB), Dr. Hafizul Othman berkata, para pelajar akan berpeluang mempelajari asas-asas industri automotif yang penting untuk memasuki alam pekerjaan kelak.

kptn 56

kptn 5

IMG 0480

Pameran KPTN kali ini melibatkan 20 Universiti Awam, 47 Universiti Swasta dan 43 Agensi Kementerian.

Penganjuran di lokasi keempat dalam negara meliputi masyarakat di wilayah utara termasuk Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Kedah itu turut membuka peluang kepada pelajar-pelajar memperoleh pelbagai informasi terkini berkenaan kemasukan ke IPT tanah air.

Teks: Rodiah Binti Md. Daud (pelajar internship PP Komunikasi USM)

Suntingan: Marziana Mohamed Alias & Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1311

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024