SIMPOSIUM URICAS 2017 PERKUKUH KERJASAMA DUA HALA DALAM SAINS PENUAAN
USM, PULAU PINANG, 28 Februari 2017 – Kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan institut penyelidikan terkemuka dunia, RIKEN Institute, Jepun memperkukuhkan kemajuan dalam bidang sains penuaan apabila kedua-dua pihak bakal membangunkan pelbagai penyelidikan yang berkaitan dengan proses penuaan melalui USM-RIKEN Centre of Ageing Science (URICAS).
Pengarah Nexus Life Sciences, Profesor Dr. Mohd. Nazalan Mohd. Najimudin berkata, URICAS yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu melalui satu memorandum persefahaman sehingga kini mempunyai kira-kira 20 pelajar ijazah tinggi merangkumi ijazah sarjana, kedoktoran dan pasca kedoktoran.
“Cabaran yang dihadapi oleh penduduk yang semakin tua adalah kos dalam penjagaan kesihatan, perubatan dan penjagaan jangka panjang. Oleh itu, URICAS berperanan dalam mencari penyelesaian, kaedah atau cara bagi menangani masalah tersebut.
“Kerjasama ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya dalam meningkatkan bilangan penyelidikan dan penerbitan berkualiti tinggi,” katanya ketika berucap sempena Simposium URICAS 2017 di Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), di sini semalam.
Beliau juga berkata, URICAS kini makin berkembang dengan penglibatan saintis-saintis muda yang komited yang disifatkan akan menjadi peneraju dan mengambil alih peranan generasi sebelumnya dalam merealisasikan matlamat penubuhan URICAS untuk memperkembangkan ilmu sains.
Nazalan turut berkata, URICAS turut menjadi platform untuk pelajar-pelajar USM mendapat peluang bekerjasama dengan saintis terkemuka di RIKEN, selain dapat menggunakan pelbagai kemudahan berteknologi tinggi termaju yang ada di RIKEN untuk kerja-kerja penyelidikan dan penerbitan.
Dalam pada itu, simposium kali kedua selepas yang pertama diadakan di Jepun itu disertai lebih 100 peserta, termasuk penyelidik-penyelidik muda yang turut membentangkan hasil kajian mereka secara lisan selama satu minit dan pembentangan poster.
Turut sama menghadiri Simposium URICAS 2017 ialah Penyelaras URICAS RIKEN, Prof. Dr. Hiroshi Ohno; Penyelaras URICAS USM, Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin dan wakil-wakil delegasi dari USM dan RIKEN.
Teks: Nur Shahidatul Shahira Bt Zakaria (pelajar internship PP Komunikasi USM)
- Created on .
- Hits: 1219