BERHIBUR SAMBIL BERAMAL
USM, PULAU PINANG, 26 Februari 2017 - Selebriti tanah air Malaysia iaitu Mohammad Noh bin Salleh atau lebih dikenali sebagai Noh Hujan serta beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) akan berhimpun di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) Universiti Sains Malaysia (USM) pada 22 Mac 2017 nanti bagi menjayakan program ‘Train to Humanity’ anjuran Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) USM.
Pihak MPDR turut menjemput wakil daripada Pusat Pendidikan Rohingnya yang beroperasi di Pulau Pinang untuk bersama-sama menjayakan program ini.
Program ‘Train to Humanity’ adalah program perkongsian ilmu dan pengalaman daripada para jemputan untuk memupuk kesedaran kepada semua pihak tentang isu kemanusiaan bukan sahaja di dalam Malaysia tetapi di luar Malaysia seperti Syria dan Myanmar.
Program ini juga dapat meningkatkan pengetahuan tentang isu-isu global yang terjadi pada waktu sekarang dan didedahkan dengan tindakan wajar yang boleh dilakukan oleh masyarakat Malaysia dalam membantu mereka yang ditindas.
Acara tersebut turut memberi peluang kepada penonton mendengar sesi bual bicara dan soal jawab antara penonton dengan tetamu jemputan, persembahan daripada Pusat Pendidikan Rohingya dan persembahan daripada artis yang merupakan salah seorang yang terlibat dalam program amal di Jordan.
Lagi menarik berkenaan program ini adalah setiap RM1.00 daripada pembelian tiket akan disumbang kepada Tabung Kemanusiaan Aman Palestin, Rohingya dan Pusat Pendidikan Rohingya, Pulau Pinang.
Teks: Ruziatun Amirah Ismail (pelajar internship PP. Komunikasi USM)
- Created on .
- Hits: 1210