INOVASI TERKINI JEPUN HASILKAN TAHI BINTANG BUATAN
USM, PULAU PINANG, 25 Februari 2017 - Jepun, negara yang terkenal dengan pelbagai penemuan serta rekacipta sains termaju kini tampil dengan inovasi terbaharu yang dikenali sebagai Artificial Shooting Stars atau tahi bintang buatan.
Projek yang dimajukan melalui sebuah syarikat teknologi dari Jepun, ALE Co. Ltd (ALE) itu dapat menghasilkan tahi bintang buatan yang berupaya dilihat oleh penduduk dalam lingkungan radius sehingga 200 kilometer.
Pakar astronomi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas ALE, Dr. Lena Okajima berkata, tahi bintang buatan itu merupakan satu inovasi teknologi di bawah projek 'Sky Canvas' yang memperlihatkan kepakaran manusia menghasilkan tahi bintang dengan bantuan satelit, dan dipaparkan di langit yang berfungsi sebagai 'kanvas' pada waktu malam.
"Kita akan menghantar satelit yang dimuatkan dengan zarah-zarah buatan ke orbit. Zarah-zarah yang dilepaskan sewaktu peredaran satelit bergerak kira-kira satu per tiga mengelilingi bumi dan apabila memasuki atmosfera, akan terbakar sepanjang perjalanan dan menghasilkan cahaya seolah-olah meteor yang boleh dilihat dengan mata kasar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam syarahan khas bertajuk “Science Through Entertainment With Shooting Stars On Demand” anjuran Konsulat Jeneral Jepun dengan kerjasama Kelab Astronomi Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM di sini baru-baru ini.
Okajima juga berkata, teknologi yang diilhamkan dari kecintaannya dan minatnya sejak kecil melihat tahi bintang itu akan dilancarkan secara rasmi sempena penganjuran Sukan Olimpik di Tokyo 2020.
Demostrasi penuh dijangka dilakukan pada 2019 dan buat permulaan, tahi bintang ini akan dihasilkan dalam tiga warna iaitu biru, hijau serta oren dan akan dikembangkan pada masa akan datang.
Turut hadir di syarahan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Prof. Dato’ Dr. Muhamad Jantan; Konsul dari Konsulat Jepun di Pulau Pinang, Kenichi Nishizawadan Penyelaras Korporat, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM, Dr. Norilmi Amilia Ismail sebagai wakil Dekan.
Teks: Ruziatun Amirah Ismail (pelajar internship PP. Komunikasi USM) / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1400