MPPUSM, ATLET DAN PSR BERTEMU BINCANG PEMBANGUNAN DAN KEBAJIKAN ATLET USM
USM, PULAU PINANG, 27 Februari 2017 - Ahli Majlis Pewakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan perbincangan dan sesi dialog bersama pengurusan tertinggi Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) USM baru-baru ini.
Menurut Yang Dipertua MPPUSM, Mohd Hazim Abdul Manaf, sesi dialog antara MPPUSM, kapten pasukan dan pegawai PSR bersama Pengarahnya Muhamad Mohd Hanif lebih menjurus kepada isu-isu kebajikan atlet.
Katanya, ia berkaitan dengan kemudahan sukan, elaun-elaun serta pembangunan sukan-sukan baharu di USM.
"Perbincangan juga berkaitan dengan mencari penyelesaian antara pihak pelajar yang terlibat dan PSR," tambahnya.
Sesi ini juga melibatkan pembentangan berkenaan perkembangan sukan di USM oleh pihak PSR dan perbincangan berkaitan prestasi dan kerjasama bersama dalam merealisasikan sukan di USM terus bersaing dan juga pemantapan pasukan-pasukan di USM ini.
Seramai 30 orang terlibat dalam sesi ini termasuk MPPUSM, kapten pasukan USM dan pegawai PSR.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1024