ANTOLOGI CERPEN MAHASISWA KIMCHI - PELAJAR USM ANTARA PEMENANG SAYEMBARA MENULIS CERPEN GB-APM 2016
USM, PULAU PINANG, 23 Februari 2017 - 4 orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) terpilih antara 30 pemenang Sayembara Menulis Cerpen Anjuran GB-APM, Universiti Malaya (UM) tahun 2016.
Menurut pensyarah kesusasteraan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Profesor Madya Dr. Rahimah Abdul Hamid, lebih istimewa, mereka merupakan produk kursus penulisan kreatif dan penyuntingan yang telah diperkenalkan oleh Bahagian Kesusasteraan, USM pada tahun 2011.
"Dengan kejayaan ini, diharapkan lebih ramai lagi pelajar yang mengikuti kursus tersebut secara amnya akan bergiat aktif dalam kegiatan penulisan kreatif," kata Rahimah.
Antara pelajar USM beserta tajuk cerpen mereka adalah Nur Farahanna Atika Binti Omar (Insan Gelandangan); Nur Izzah Atira Mohd Nazmi (Potret Harapan di Jogjakarta); Nur Atiqah Abdul Latif (Aku Yusuf Bukan Bodoh) dan Muhammad Nur Saiful Ghazali (Satira Terakhir).30 karya terbaik ini daripada keseluruhan penyertaan akan dibukukan dan setiap pengarang akan menerima royalti daripada hasil karya mereka ini.
Sayembara menulis cerpen itu bertujuan dan memberi fokus dalam mengasah dan mencungkil bakat penulisan dalam kalangan pelajar universiti, sekali gus sebagai pelapis kepada pengarang mapan masa kini dan terbuka kepada pelajar universiti awam (UA) serta swasta termasuk luar negara dan menjadi platform kepada golongan ini untuk berkarya.
Sayembara anjuran Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) itu juga mencatat sejarah tersendiri apabila penganjurannya terbuka kepada semua pelajar berusia 18 hingga 30 tahun.
Kesemua 30 buah cerpen yang terpilih dalam sayembara ini telah dibukukan dalam sebuah Antologi Cerpen Mahasiswa: Kimci.
Antologi ini telah diterbitkan oleh Gallery Bookstore dan dijual pada harga RM29.00 dan boleh didapati di cawangan Gallery Bookstore yang berhampiran.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1607