121 PELAJAR LEPASAN PROGRAM PRA-U USM DIRAIKAN
USM, PULAU PINANG, 18 Februari 2017 - Majlis Penyampaian Sijil kepada pelajar lepasan Program Pra-Universiti USM dari Kolej MARA Kulim (KMK) yang telah tamat pengajian masing-masing telah diadakan pada hari ini.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Program Pra-Universiti USM telah mula dilaksanakan pada tahun 2012/2013 dan ianya adalah ‘feeder’ kepada program Ijazah di USM bagi semua bidang pengajian khususnya bidang sains dan teknologi.
"Objektif utama program ini adalah untuk melahirkan bakat yang mempunyai daya saing serta beraspirasi tinggi dalam mengharungi cabaran dunia globalisasi, dan bagi memenuhi keperluan tenaga manusia terlatih dan meningkatkan daya saing dalam bidang-bidang yang berasaskan Sains, Teknologi dan Kejuruteraan," jelasnya yang mewakili Naib Canselor Profesor Datuk Dr. Asma Ismail di majlis penyampaian sijil ini.
Menurut Nurul Aqilah Abdul Rahim, tahun 1 Sains Farmasi, program sebegini membuatkan dirinya berasa bangga dengan usaha KMK dan USM bagi melahirkan graduan yang berkualiti dan terlatih pada suatu hari nanti.
“Program sebegini telah dilaksanakan beberapa tahun yang lalu, namun pertama kali USM mengadakan majlis penyampaian sijil sebegini. Kami berharap ia akan diteruskan bagi memastikan USM melahirkan graduan yang berdaya saing di dalam setiap bidang yang diceburi.
“Selain itu, kami juga berpeluang bertemu dengan alumni KMK di majlis yang sebelum ini membawa haluan masing-masing di USM,” jelas Aqilah yang merupakan salah seorang penerima anugerah daripada 121 orang pelajar.
Menurut Nurdiana Nabila Jamal Rozi, tahun 1 Sains Fizik, USM merupakan salah satu universiti yang terbaik dalam bidang astronomi. Jadi, beliau ingin meneruskan perjuangan dalam bidang tersebut tanpa menghampakan hasrat sebenar Program Pra-Universiti USM.
“Saya juga rasa dihargai apabila USM dan KMK meraikan kami pada hari ini kerana bukan semua orang yang berpeluang dianugerah sijil dalam majlis khas seumpama ini,” jelas Nurdiana.
Menurut salah seorang pelajar Kampus Kejuruteraan, Muhammad Najwan Hamidi, program Pra-Universiti ini adalah program yang amat baik kerana dapat membuka peluang kepada para pelajar supaya mendapat panduan bagi melanjutkan pelajaran di dalam bidang tertentu.
“Saya berharap agar saya dapat meneruskan pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah selaras dengan visi Program Pra-Universiti ini.
“Saya juga berharap agar program ini diteruskan untuk memberi peluang yang lebih banyak kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti,” jelas Najwan yang merupakan pelajar sidang pertama yang terlibat dengan program Pra-Universiti ini.
Analisa statistik menunjukkan bahawa bagi kohort ambilan Sidang Akademik 2012/2013, 84% mendapat CGPA 3.5 dan ke atas serta 14% mendapat CGPA 4.00 dan peratusan ini dilihat meningkat bagi ambilan 2015/2016 iaitu 76% mendapat CGPA 3.5 dan 24% mendapat CGPA 4.00.
Yang turut hadir adalah Pengarah KMK, Haji Zolhamidy Che An; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan; Pendaftar USM Profesor Dato' Dr. Abd Aziz Tajuddin.
Teks: Ruziatun Amirah Ismail (pelajar internship PP. Komunikasi USM) / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 4089