PELAJAR SAINS KOMPUTER JUARA “MOSTI UNIVERSITY APPCHALLENGE”
USM, PULAU PINANG, 20 Februari 2017 - Sekumpulan sepuluh pelajar dari Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSK) yang menggelarkan mereka sebagai Arctic Blaze muncul juara dalam pertandingan “Mosti University Appchallenge” yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini semalam.
Pertandingan anjuran StartupMalaysia.org dengan kerjasama IEEE SB USM itu adalah inisiatif Kementerian Sains & Teknologi (MOSTI) di bawah MOSTI Inovasi Sosial (MSI), bertujuan menggalakkan pelajar-pelajar universiti tempatan menerokai dunia teknologi, inovasi dan kreativiti dalam cara yang menyeronokkan dan berdaya saing.
Pertandingan yang dibuka penyertaannya kepada semua pelajar universiti berusia 18 - 25 tahun itu memperlihatkan cabaran 48 jam untuk peserta belajar dan membangunkan aplikasi dengan bantuan mentor pakar.
Ketua pasukan Arctic Blaze, Sim Jia Wei berkata, pasukannya telah membangunkan perisian bagi memudahkan pengguna membuat perbandingan harga barangan di pelbagai pusat membeli-belah yang terdapat di sekitar mereka.
“Perisian ini bersifat dua hala yang mana pengguna boleh mengemaskini senarai harga barangan di sesebuah pusat membeli-belah untuk dikongsikan bersama orang lain. Ini dapat memberi manfaat khususnya bagi pengguna membuat pilihan yang bijak dalam membelanjakan wang,” ujarnya.
Kumpulan tersebut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,500 dan tambahan RM500 sumbangan StartupMalaysia.org. Majlis penutup dan penyampaian hadiah dilakukan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein.
- Created on .
- Hits: 1079