USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KESIHATAN MULUT YANG BAIK MEMBAWA SENYUMAN MENAWAN

 gigi 1

USM, PULAU PINANG, 20 Februari 2017 - Adakah anda pasti keadaan di dalam mulut anda adalah benar-benar sihat dan bebas daripada sebarang masalah? Adakah anda tahu bahawa mulut anda boleh diserang masalah gusi selain daripada masalah gigi berlubang?

Tidak ramai yang mengetahui bahawa gingivitis atau penyakit gusi berdarah, adalah salah satu penyakit yang boleh menyerang kesihatan mulut.

Menurut pegawai Unit Pergigian, Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM), Asdayanti Mat Amin, Gingivitis adalah sejenis penyakit periodontal yang boleh mengakibatkan pendarahan dan bengkak pada gusi dan penyebab utama berlakunya gingivitis adalah plak gigi. Plak gigi adalah sejenis biofilem yang terhasil daripada campuran sisa makanan, bakteria dan air liur di dalam mulut anda dan ia bersifat tidak berwarna, lembut dan melekit.

"Lama-kelamaan, jika plak ini tidak dibersihkan dengan sempurna, ia akan mula mengeras dan bertukar menjadi karang gigi ataupun kalkulus dan sekiranya plak ini telah menjadi karang gigi, ia tidak lagi dapat ditanggalkan dengan menggunakan teknik memberus gigi yang biasa, tetapi dengan menggunakan alat khas yang terdapat di klinik pergigian sahaja," katanya.

"Plak ini biasanya terdapat di celah antara gigi, pada permukaan gigi dan pada kawasan antara gigi dan gusi. Oleh kerana pembentukan plak ini adalah suatu proses semulajadi, maka pembentukannya tidak dapat dielakkan," ujarnya.

Pun begitu katanya, plak mudah dibuang dengan hanya memberus secara perlahan-lahan secara berulang-kali dengan menggunakan berus gigi jenis lembut dan memflos juga dapat menanggalkan plak dan sisa makanan, bakteria yang melekat pada celah gigi dan gusi.

"Tanda-tanda gejala gingivitis ini adalah gusi menjadi merah, mudah berdarah dan bengkak. Gingivitis boleh dirawat dengan membuat rawatan penskaleran di klinik gigi dan mengamalkan penjagaan kebersihan mulut yang baik, seperti memberus gigi dan gusi dua kali sehari, menggunakan floss dan menggunakan ubat kumur.

"Jika gingivitis ini tidak dirawat di peringkat awal, ia akan terus merebak dan menyebabkan masalah yang lebih serius iaitu periodontitis. Periodontitis boleh menyebabkan kemusnahan tisu dan penyusutan tulang yang akhirnya boleh menyebabkan struktur gigi menjadi longgar dan tercabut dari soket," jelas lanjutnya.

Oleh itu beliau menasihatkan semua agar berjumpa doktor gigi setiap 6 bulan sekali dalam tempoh setahun untuk pemeriksaan kesihatan mulut.

Pusat Sejahtera turut menyediakan perkhidmatan pergigian kepada para pelajar sepenuh masa yang dibuka setiap hari bekerja waktu pejabat.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 3743

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024