USM SERTAI RANGKAIAN MALAYSIAN YUNUS SOCIAL BUSINESS
KUALA LUMPUR, 17 Februari 2017 - Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi rakan pintar bersama empat institusi lain di negara ini sebagai perintis dalam rangkaian Malaysian Yunus Social Business (MYSB).
Selain USM, turut menyertai rangkaian yang diasaskan pemenang Nobel Laureate Profesor Muhammad Yunus dari Bangladesh itu adalah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Institut Darul Ridzuan dan Yayasan MyHarapan.
Rangkaian lokal ini akan kemudiannya membentuk rangkaian global peringkat Asia Pasifik di mana Memorandum Persefahaman akan ditandatangani pada bulan Mac ini.
Rangkaian ini merupakan inisiatif julung-julungnya dari rangkaian Yunus Center yang turut berada di pelbagai negara lain termasuk Sepanyol, Germany, Amerika Syarikat dan sebagainya, berperanan dalam menyediakan platform perniagaan yang berupaya memperkasa golongan terkebawah dan menyelesaikan masalah kelestarian sejagat.
Di USM, MYSB ditempatkan di Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB).
Ia turut menjadi asas dalam menyuntik minda generasi muda untuk berkreativiti dalam dunia perniagaan sosial yang disifatkan sebagai alternatif lestari yang dapat merapatkan jurang perniagaan dan filantropi.
Perniagaan sosial adalah satu bentuk perniagaan yang menjadikan misi sosial sebagai teras kepada matlamat jangka panjangnya.
Sedikit berbeza dari perniagaan normal yang lain, perniagaan sosial dibangunkan untuk memberi penyelesaian untuk manfaat golongan terkebawah dan membantu menyelesaikan masalah kelestarian melalui perniagaan.
Selari dengan misi USM dalam membudayakan kelestarian, MYSB akan menjadi platform untuk Universiti merangka program bersama rakan strategik dari pelbagai negara bagi memperkasa perniagaan sosial dan melahirkan lebih ramai 'job creator' dalam kalangan siswazahnya.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 873