USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM PRA-UNIVERSITI USM LAHIR GRADUAN BERKUALITI DAN BERKEBOLEHUPAYAAN DALAM PASARAN KERJA

 shukri789

USM, PULAU PINANG, 18 Februari 2017 - Majlis Penyampaian Sijil kepada pelajar lepasan Program Pra-Universiti Universiti Sains Malaysia (USM) dari Kolej MARA Kulim (KMK) yang telah tamat pengajian masing-masing telah diadakan pada hari ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Program Pra-Universiti USM telah mula dilaksanakan pada tahun 2012/2013 dan ianya adalah ‘feeder’ kepada program ijazah di USM bagi semua bidang pengajian khususnya bidang sains dan teknologi.

"Objektif utama program ini adalah untuk melahirkan bakat yang mempunyai daya saing serta beraspirasi tinggi dalam mengharungi cabaran dunia globalisasi, dan bagi memenuhi keperluan tenaga manusia terlatih dan meningkatkan daya saing dalam bidang-bidang yang berasaskan Sains, Teknologi dan Kejuruteraan," jelasnya yang mewakili Naib Canselor Profesor Datuk Dr. Asma Ismail di majlis penyampaian sijil ini.

shuk7

Tambahnya, dengan kata lain, ianya bermatlamat untuk menghasilkan graduan cemerlang di peringkat pra-siswazah dan seterusnya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat pasca siswazah iaitu sarjana dan PhD.

"USM komited dalam menyediakan laluan kepada pelajar-pelajar cemerlang ini untuk melanjutkan pengajian masing-masing di USM dan berharap kualiti pelajar ini dapat ditingkatkan lagi ke tahap paling tinggi dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan berkebolehupayaan dalam pasaran kerja yang amat mencabar kini. 

"Bukan hanya kebolehpasaran kerja malah boleh melahirkan penyelidik muda yang dapat menjana idea yang mana akhirnya dapat diterjemahkan ke dalam produk atau perkhidmatan yang berinovasi tinggi dan berdaya saing sehingga ke peringkat antarabangsa," jelas lanjutnya.

DSC 5461

Sehingga kini seramai 415 orang pelajar lepasan program ini sedang mengikuti program pengajian di USM dalam pelbagai bidang.

Ujarnya lagi, pada konvokesyen USM ke-54 pada Oktober 2016 lalu, graduan sulung daripada program ini telah dihasilkan iaitu seramai 14 orang pelajar dan dari jumlah tersebut seramai 9 orang pelajar telah menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

"USM juga mensasarkan seramai 100 orang pelajar akan bergraduat pada tahun ini dan berharap lebih ramai lagi pelajar-pelajar cemerlang hasil dari program Pra-Universiti ini akan terus melanjutkan pengajian mereka di USM pada peringkat sarjana dan PhD," katanya.

Analisa statistik menunjukkan bahawa bagi kohort ambilan Sidang Akademik 2012/2013, 84% mendapat CGPA 3.5 dan ke atas serta 14% mendapat CGPA 4.00 dan peratusan ini dilihat meningkat  bagi ambilan 2015/2016 iaitu 76% mendapat CGPA 3.5 dan 24% mendapat CGPA 4.00.

hjeran6r

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamad merupakan penghubung di antara USM-MARA dan telah dilantik oleh Naib Canselor sebagai Duta USM-MARA.

Yang turut hadir adalah Pengarah KMK, Haji Zolhamidy Che An; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan; Pendaftar USM Profesor Dato' Dr. Abd Aziz Tajuddin.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2133

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024