PENSYARAH USM DILANTIK MENGANGGOTAI KUMPULAN PENASIHAT ANTARABANGSA 'BRITISH PHARMACOLOGY SOCIETY'
KUBANG KERIAN, 12 Februari 2017 - Pensyarah Perubatan Kanan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Wan Amir Nizam Wan Ahmad telah dilantik menganggotai Kumpulan Penasihat Antarabangsa (International Advisory Group) 'British Pharmacology Society' selama tiga tahun bermula Januari 2017 hingga 2019.
Beliau merupakan 14 orang yang dipilih di antara 46 calon yang berkelayakan selepas melepasi beberapa fasa penilaian dan juga merupakan wakil tunggal dari Asia Tenggara.
'British Pharmacology Society' adalah sebuah persatuan untuk menggalakkan dan memajukan keseluruhan bidang farmakologi serta mempelopori penyelidikan dan permohonan farmakologi di seluruh dunia dengan dianggotai lebih 3,500 ahli dari lebih daripada 60 buah negara.
Menurut Wan Amir, beliau bersyukur kerana terpilih di kalangan ramai lagi calon lain yang berkaliber dan ini merupakan penghargaan pihak luar kepadanya sebagai mewakili Malaysia dan Asia Tenggara.
"Melalui persidangan yang akan diadakan oleh persatuan ini nanti, kita dapat menggunakannya sebagai platform untuk mengetengahkan dan mempromosikan penyelidikan yang dihasilkan oleh penyelidik USM untuk dikenali di peringkat antarabangsa selain dapat mempromosi kemudahan penyelidikan yang sedia ada.
"Saya bergerak atas dasar ahli jawatankuasa namun saya juga akan mewakili USM sebagai seorang pensyarah sekaligus menonjolkan imej USM di mata masyarakat luar," katanya.
Tambah Wan Amir, melalui usaha ini, saya berharap dapat memulakan kolaborasi antarabangsa selain dapat mengangkat kurikulum pengajaran ke tahap setara dengan yang digunapakai di peringkat antarabangsa dan seterusnya dapat menarik minat pelajar luar untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia sama ada peringkat sarjana muda atau pascasiswazah dan juga menjalankan latihan industri.
Teks: Mohd Hafiz Yaacob
- Created on .
- Hits: 7097