USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRIBUMIKAN ILMU UNTUK KEMAJUAN BANGSA

TOKOH67

USM, PULAU PINANG, 17 Februari 2017 – Usaha memandaikan masyarakat dalam mewujudkan peradaban bangsa yang tinggi dengan kekuatan ilmu dan pembinaan tamadun hebat apabila ilmu berupaya diterjemahkan ke dalam bentuk penghasilan dan penambahbaikan dari ilmu yang sedia ada perlu difahami dengan sewajarnya.

Menurut Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, usaha ini dapat dilakukan dengan berfokus kepada empat perkara iaitu memandaikan bangsa dalam bahasa sendiri, menterjemahkan ilmu dengan mempribumikan ilmu yang dimiliki, menjana ilmu yang diperolehi dan menghasilkan kreativiti, inovasi dan teknologi untuk kegunaan masyarakat setempat.

DSC 5358

Tambah beliau, terdapat andaian yang menganggap sesuatu bangsa akan maju jika meminjam dari bekas penjajah yang sejarah membukti dalam banyak hal ini tidak terjadi.

"Bangsa yang dikalahkan lazimnya akan meniru pakaian, simbol-simbol kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang mengalahkan mereka.

"Tingkahlaku ini disebabkan sifat manusia yang lazimnya menyangka bangsa yang mengalahkan mereka itu adalah bangsa yang sempurna," kata Abdullah.

DSC 5365

Tegas beliau, terdapat kaitan yang rapat antara kreativiti sebagai unsur penting membangunkan ekonomi dengan bahasa yang digunakanuntuk menyampaikan ilmu yang ringkasnya apabila bahasa pengantar yang digunakan adalah bahasa sendiri, maka benak kita akan bebas berfikir dan mencetuskan idea kreatif.

"Apabila kita menggunakan bahasa pinjaman, benak kita akan tertawan dalam budaya bahasa tersebut dan akibatnya kita hanya menjadi pengguna produk-produk budaya tersebut," jelas beliau.

Beliau mengupas kepentingan ilmu dan sejarahnya termasuk dalam ketamadunan Islam yang berupaya mengubah dunia dan bagaimana mereka menjunjung tinggi kerja ahli-ahli akademik dalam menyalin, menterjemah dan menghasilkan penulisan yang memberi impak besar kepada peradaban dan tamadun yang sayangnya banyak koleksi dimusnahkan oleh mereka yang menjajah selepas kejatuhan sesuatu bangsa dan negara seperti yang terjadi kepada Iraq yang diserang Amerika Syarikat satu ketika dahulu.

Jelas Abdullah, dalam proses memandai dan memajukan bangsa, kita perlu mengambil iktibar bagaimana Jerman berjaya menjadi sebuah negara maju apabila mempribumikan ilmunya melalui bahasa sendiri dengan mempertahankan bahasa Jerman melalui perjuangan Gottfried Wilhelm Leibniz.

TOKOH90

Leibniz mengusulkan beberapa strategi seperti membakukan bahasa Jerman dengan menyusun tata bahasa dan istilah, menyebarkan bahasa Jerman kepada seluruh rakyat Jerman, menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti, menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pentadbiran negara dan bahasa perniagaan serta bahasa komunikasi umum dalam semua bidang dan peringkat.

“Lihat juga bagaimana bangsa Jepun mengamalkan budaya mereka tersendiri dalam mempribumikan ilmu dengan menggunakan dua proses iaitu  membonzaikan dengan mengecilkan sesuatu yang besar dan proses kaizen yang tidak membuang sesuatu begitu sahaja tetapi membaikinya supaya lebih baik,” kata beliau dalam Syarahan Tokoh Negara yang berlangsung di Dewan Budaya di sini hari ini.

DSC 5351

Tambah beliau lagi, terdapat buku yang benar-benar diterjemahkan dan bermanfaat dengan nilai peradaban yang tinggi kepada dunia seluruhnya. Antaranya ialah karya Cannon of Medicine (1484) yang ditulis oleh Ibnu Sina, Complete Works daripada William Shakespeare, Philosophiae Naturalis Principa Mathematica (1686) karya John Isaac Newton yang hanya dimanfaatkan 200 tahun selepas beliau meninggal apabila karya tersebut diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa, The Wealth of Nations (1776) oleh Adam Smith, Napoleonic Code (1804) dan The Road Ahead (1995) oleh Bill Gates.

Profesor Abdullah Hassan merayu dan menyeru kepada hampir 500 orang warga kampus yang hadir ke program anjuran Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi  Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) itu supaya universiti tidak mengenepikan penulisan buku dan terjemahan dalam bahasa Melayu walaupun pada masa yang sama ingin mencapai penulisan-penulisan yang diiktiraf untuk pelbagai tujuan dalam bahasa Inggeris.

Beliau mengingatkan agar penemuan-penemuan baharu wajar dipatenkan supaya tidak digunakan oleh orang lain secara komersil.

YOKOH5

Turut hadir bersama dalam Syarahan Tokoh Negara itu ialah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah yang mewakili Naib Canselor USM; Dekan PPIK, Profesor Dr. Narimah Samat; Ombudsman USM, Profesor Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar dan Penyelaras Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi PPIK, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong.

Teks: Nur Shahidatul Shahira Bt Zakaria (Pelajar internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 2882

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024