MAKMAL BERSAMA USM-MUDA PPTI TINGKATKAN KERJASAMA USM DAN INDUSTRI DALAM TEKNOLOGI KERTAS
USM, PULAU PINANG, 16 Februari 2017 - Memorandum Perjanjian (MoA) yang termeterai antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Muda Holdings Berhad pada November 2014 telah berjaya direalisasikan pada hari ini apabila sebuah makmal teknologi kertas yang lama telah dinaiktaraf untuk kegunaan pelajar di Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI).
Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, ia merupakan usaha bagi menyokong aspirasi USM untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama Quadruple Helix yang melibatkan pihak kerajaan, universiti, industri dan masyarakat.
“Malah ia adalah agenda utama USM yang kini sedang dipertingkatkan untuk melonjakkan kedudukan USM di peringkat nasional mahupun global,” katanya semasa mewakili Naib Canselor USM merasmikan Makmal Bersama USM-Muda Bahagian Teknologi Biosumber, Kertas dan Penglitup PPTI di sini hari ini.
Menurut Ahmad Farhan lagi, USM amat menitikberatkan kerjasama dengan industri bagi menambahbaik pengalaman pembelajaran pelajar, terutamanya pengalaman yang diperoleh terus daripada industri yang relevan.
“Secara tidak langsung, jurang kualiti graduan dengan kehendak industri dapat dikurangkan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi).
“Kerjasama sebegini penting kerana ia bukan sahaja menjadikan graduan relevan, malah ia menjadikan USM lebih ‘relevant, respected, referred’ (3R).
“Dengan kerjasama yang diberikan antara PPTI dengan Muda Holdings akan dapat memantapkan dan memberikan testimoni kepada masyarakat umum dan industri bahawa kita sebenarnya mempunyai jalinan kerjasama yang amat baik dengan industri,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Muda Holdings Berhad (MHB), Dato’ Azaman Abu Bakar berkata, mereka di Muda sentiasa berusaha meninggikan mutu pengeluaran serta mencuba mengurangkan kos dengan pelbagai cara melalui penyelidikan dan ujian.
“Dengan adanya makmal yang dinaiktaraf di USM ini, saya berharap pelajar dan tenaga pengajar mendapat faedah untuk membantu dan meninggikan mutu pelajaran mereka, dan mengekalkan USM di tangga teratas dalam senarai Universiti-universiti di Malaysia,” jelas Azaman.
Dekan PPTI, Profesor Dr. Azhar Mat Easa pula berkata bahawa menerusi Makmal Bersama USM-Muda bukan sahaja dapat membantu menonjolkan kepakaran dan kemampuan penyelidikan dalam kalangan pelajar khususnya dalam bidang teknologi kertas, bahkan mengukuhkan lagi kerjasama antara USM dengan industri.
“Syarikat Muda juga berbesar hati menerima pelajar Teknologi Biosumber, Kertas dan Penglitup bagi menjalankan latihan industri di kilang mereka setiap tahun, sekaligus memberi peluang bagi program akademik ini melahirkan dan membekalkan tenaga kerja mahir kepada syarikat-syarikat berkaitan produk berasaskan kertas termasuklah anak-anak syarikat MHB,” kata Azhar lagi.
Sejurus majlis tamat, mereka dibawa melawat Makmal Bersama USM-Muda di PPTI yang dinaiktaraf dengan sumbangan MHB berjumlah RM300,000.
Yang turut hadir adalah Pengarah Eksekutif MHB dan Pengarah Urusan Muda Paper Mills Sdn. Bhd., Dato’ Lim Wan Peng dan isteri; Pengurus Pejabat Yayasan USM, Fadzilla Bosman; warga PPTI; Pengurus Besar dan Timbalan Pengurus Besar serta alumni USM yang bekerja di Federal Packages Sdn. Bhd., Muda Paper Converting Sdn. Bhd. dan Muda Paper Mills Sdn. Bhd.
Teks: Ruziatun Amirah Ismail (pelajar internship PP Komunikasi USM) / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 3294