LONJAK NAMA USM IKUT REKACIPTA TERSENDIRI-NC
USM, PULAU PINANG, 15 Februari 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) bertekad untuk melonjakkan namanya dengan menampilkan keunikan serta rekacipta tersendiri dan tidak bergantung kepada nasib dalam setiap perancangannya.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail berkata, kecemerlangan dan kegemilangan Universiti itu sebagai institusi pertama dipilih dalam Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) akan diteruskan dengan perancangan yang sistematik.
Katanya, tiga asas utama akan diberi tumpuan untuk merealisasikan kecemerlangan sebagai ‘purpose-driven university’ termasuk dalam aspek ‘global prominence’, kelestarian kewangan dan indeks kegembiraan.
“Dunia pendidikan tinggi hari ini jauh lebih mencabar dari sebelumnya yang mana kesan langsung dari keadaan ekonomi semasa, era digital dan sebagainya memberi impak tsunami kepada pendidikan tinggi.
“Justeru kita perlu menangani bersama impak berkenaan dengan gaya USM serta mengukuhkan nilai-nilai fundamental yang selari dengan aspirasi APEX,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Tahunan Naib Canselor (PTNC 2017) yang bertajuk ‘Mengatasi Bersama Kesan Tsunami Globalisasi… Gaya USM’ di sini semalam.
Tambahnya lagi, sebagai sebuah universiti penyelidikan, USM seharusnya menghasilkan ilmu-ilmu baru yang dapat disebarluas kepada pelajar serta dimanfaatkan oleh komuniti dan industri untuk kembali menjana pendapatan kepada negara.
Selain itu ujarnya, warga USM khususnya penyelidik perlu lebih kreatif dalam aspek kelestarian kewangan dengan mendekati pihak industri untuk membangunkan penyelidikan yang berimpak.
Beliau turut memberi penekanan kepada konsep Saya Sayang USM dan USM Sayang Saya yang disifatkan perlu diseimbangkan peranannya untuk memastikan institusi itu mempunyai nilai yang kukuh dan terus berdaya saing.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 990