USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HEBAHAN HARI TERBUKA PPPJJ USM

16640857 1315033235224373 6714963869979729508 n

USM, PULAU PINANG, 15 Februari 2017 - Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) akan menganjurkan Program Hari Terbuka PPPJJ pada 24 dan 25 Februari 2017 (Jumaat dan Sabtu) di Dewan Peperiksaan A dan B, USM.

Menurut Dekan PPPJJ USM, Profesor Madya Dr. Mustafa Fadzil Farid Wajidi, program ini merupakan aktiviti yang julung kali dianjurkan oleh PPPJJ demi memberikan penerangan dan kefahaman kepada masyarakat luar tentang adanya sebuah pusat pengajian di USM sebagai perintis di Malaysia yang menawarkan program pendidikan jarak jauh yang dahulunya dikenali sebagai rancangan pengajian luar kampus sejak 1971.

"Objektif Program Hari Terbuka PPPJJ ialah untuk memberikan maklumat yang jelas tentang program-program pendidikan jarak jauh yang sedang ditawarkan oleh PPPJJ iaitu ijazah sarjana muda di samping juga mempromosi program ijazah tinggi PPPJJ serta program pendidikan berterusan PPPJJ," jelasnya.

Tambahnya, orang ramai yang hadir berpeluang menemui wakil-wakil PPPJJ untuk mendapat gambaran yang jelas tentang program dan syarat-syarat kemasukan ke Rancangan Pengajian Jarak Jauh PPPJJ USM dan boleh memohon terus secara atas talian di kaunter yang disediakan sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.

"Begitu juga orang ramai berpeluang mendapat informasi menarik di kaunter khas tentang kursus-kursus jangka pendek yang ditawarkan oleh PPPJJ sekiranya mereka berhajat menimba ilmu dalam tempoh tertentu," ujarnya.

Jelas lanjutnya, objektif penganjuran program ini juga sebagai menyokong Lonjakan Ketiga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015 - 2025 KPT iaitu Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Antara  pengisian menarik lain Hari Terbuka PPPJJ  adalah sesi pertemuan dengan Profesor-Profesor PPPJJ, sesi penerangan oleh Pengerusi-pengerusi Rancangan PPPJJ, kempen menderma darah oleh Pusat Sejahtera USM  serta  pameran oleh PTJ-PTJ di USM seperti Pusat Racun Negara, Institut Pengajian Siswazah dan Seksyen Kemasukan.

Sementara agensi luar yang terlibat adalah Jabatan Kastam Perak, Maritim Putra Jaya, MARA, BSN, CIMB dan Maybank serta gerai-gerai persatuan pelajar PPPJJ dan ALUMNI PPPJJ.

PPPJJ berharap dengan adanya program Hari Terbuka PPJJJ ini, ia akan menarik masyarakat di sekitar Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan wilayah Utara Perak untuk lebih mengenali PPPJJ secara lebih dekat dan meneruskan hasrat untuk menimba ilmu secara pembelajaran sepanjang hayat kerana kaedah pembelajaran dan pengajaran RPJJ sememangnya  fleksibel  dan disesuaikan  dengan  masyarakat yang tidak berpeluang meneruskan pengajian secara penuh masa di universiti awam.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1918

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024