KAKUSMA USM KONGSI ILMU DAN MENABUR BAKTI DI 4 SEKOLAH DI KEDAH
USM, PULAU PINANG, 9 Februari 2017 - Kumpulan Anak-Anak Kedah (KAKUSMA) Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah mengadakan Program Back To School yang dijalankan secara serentak di 4 buah sekolah di negeri Kedah.
Antara sekolah yang terlibat adalah SMK Yan, SMK Lubok Merbau, SMK Guar Chempedak dan SMK Baling.
Menurut Yang Dipertua KAKUSMA, Muhammad Fahim Jamaludin, program ini merupakan program bersama antara KAKUSMA dengan Alumni sekolah yang merupakan pelajar USM terlibat bersama pelajar tingkatan 6 atas.
Katanya, objektif program adalah untuk menabur bakti di sekolah kerana semua sekolah yang terlibat adalah bekas sekolah peserta dari USM; memberi sedikit pendedahan tentang hidup di universiti; berkongsi pengalaman dengan pelajar dan secara tidak langsung memberi semangat kepada mereka untuk terus menggapai kejayaan; dan mempromosikan USM kepada pelajar tingkatan 6 atas yang bakal melangkah ke universiti nanti.
"Hasil yang ingin dicapai melalui program berimpak ini adalah bagi meningkatkan keyakinan dan semangat pelajar sekolah terlibat dalam pelajaran di samping mempromosikan USM dan yang paling utama adalah pelajar USM dapat berkongsi ilmu yang dimiliki bersama pelajar sekolah terlibat," jelas pelajar tahun 3 Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan ini.
Rata-rata pelajar sekolah yang terlibat memberi komen yang positif dan bernas dengan penganjuran program sebegini oleh USM kerana ianya memberi mereka input dan maklumat yang berguna untuk perancangan masa hadapan dengan lebih cerah di samping mendapat ilmu tambahan dalam memperkasakan lagi bidang akademik mereka.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah sesi ceramah, motivasi dan aktiviti dalam kumpulan. Seramai 36 orang pelajar USM terlibat dalam program ini.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: KAKUSMA USM
- Created on .
- Hits: 1419