USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INOVASI TEKNOLOGI HIJAU - USM TERUS PACU KECEMERLANGAN KELESTARIAN

 

 01IMG9956

 

SUNGAI PETANI, KEDAH, 1 Februari 2017 - Universiti memimpin Kelestarian, Universiti Sains Malaysia (USM) terus memacu kecemerlangan dalam bidang kelestarian apabila produk penyelidikan menggunakan teknologi hijau oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Perumahan Bangunan dan Perancangan (HBP), Dr. Cheah Chee Ban iaitu konkrit tanpa simen rendah jejak karbon sedia untuk dikomersialkan.

Hal ini dimeterai melalui penandatanganan Memorandum Perlesenan dan Pengkomersialan (MPP) berjumlah RM100,000 di antara anak syarikat USM iaitu Usains Holdings Sdn. Bhd. bersama Macro Dimension Concrete Sdn. Bhd. (MDC) iaitu  sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembuatan konkrit.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDC besama Penagrah Usains Holding Sdn Bhd. Dato Syed Mohamad Syed Murtaza menandatangani Memorandun Perkomersialan dan Perlesenan berjumlah RM100000.00

Selain MPP, MDC hari ini turut menyampaikan biasiswa berjumlah RM150,000 kepada lima orang pelajar cemerlang dari beberapa Pusat Pengajian (PP) termasuk Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanik dan juga HBP.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, kerjasama MDC melalui pemberian biasiswa kepada pelajar dan penawaran tempat untuk latihan industri dapat membantu dalam pembangunan bakat pelajar USM.

“Kerjasama USM-MDC ini dapat dijadikan model yang baik iaitu MDC, industri yang ingin membangunkan konkrit tanpa simen serta rendah jejak karbon telah bekerjasama dengan ahli akademik USM dalam pembangunan teknologi hijau ini daripada idea kepada realiti dan menjadikan kerjasama ini fantastik,” kata Asma.

“HBP sedang mengkaji untuk menjalankan program 2u2i yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan MDC dapat menjadi rakan strategik bagi program ini yang menjalankan pengajian secara dua tahun di USM dan dua tahun di industri,” tambah Asma.

Ketua Pegawai Eksekutif MDC, Leow Khang Heng pula berkata, MDC telah menubuhkan makmal yang sama seperti di USM dan dalam permohanan pensijilan ISO 17025 di ibupejabat MDC di Sungai Petani, Kedah untuk tujuan kajian dan penyelidikan dalam bidang bahan konkrit mampan.

“Selain penawaran tempat untuk para penerima biasiswa menjalankan latihan industri, MDC juga menawarkan tempat untuk para pelajar ijazah tinggi untuk kerjasama ini kerana saya percaya melalui hubungan USM-MDC ini dapat meningkatkan juga bakat sedia ada di MDC,” tambah Khang Heng. 

Yang turut hadir adalah Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pengarah Usains Holdings Sdn. Bhd., Dato’ Syed Mohamad Syed Murtaza, Dekan HBP Profesor Dr. Aldrin Abdullah dan ketua penyelidik yang juga pensyarah HBP Dr. Cheah Chee Ban.

Teks: Nor Rafizah Md Zain

Foto: Nor Rafizah Md Zain dan Muhammad Firdaus Khiruddin

  • Created on .
  • Hits: 1678

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024