HUSM PERTAMA KALI ADAKAN PEMBEDAHAN SUPINE PCNL BANTU PESAKIT BATU KARANG
KUBANG KERIAN, 24 Januari 2017 - Unit Urologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) melakar sejarah menjalankan kaedah pembedahan batu karang buah pinggang 'staghorn' dengan menggunakan kaedah terbaru yang dikenali sebagai 'Supine Percutaneous Nephro Lithotripsy' (PCNL).
Pembedahan 'Supine PCNL' pertama di Hospital USM dan juga pertama bagi Wilayah Pantai Timur berjaya dilaksanakan pada 22 Januari lalu melibatkan lima orang pesakit turut mendapat sambutan daripada pelatih sarjana pembedahan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM.
Menurut Pakar Bedah Urologi Hospital USM, Dato' Dr. Azhar Amir Hamzah, kaedah ini jauh lebih berkesan untuk mengeluarkan keseluruhan batu karang selain mengambil masa yang singkat.
"Kaedah ini dilakukan dengan menebuk satu lubang bersaiz lima milimeter (mm) terus ke buah pinggang pesakit, lalu memasukkan alat yang dipanggil 'Litho Triptor' yang akan menggerudi batu karang tersebut sebelum menyedutnya keluar sehingga habis.
"Sebelum pembedahan dijalankan, pesakit terlebih dahulu diberi suntikan cecair 'Floruskopic' untuk memantau sistem urin melalui ultrasound," katanya.
Jelas Azhar, melalui kaedah konvensional yang diamalkan sebelum ini, pembedahan batu karang mengambil masa empat hingga enam jam termasuk proses pembiusan, 'patient positioning' dan sebagainya.
"Melalui pembedahan 'Supine PCNL' hanya mengambil masa 45 minit sahaja dan risiko komplikasi adalah jauh lebih rendah serta pesakit boleh didiscaj dari wad pada hari berikutnya," ujarnya.
Azhar berkata, kaedah ini dapat mengurangkan masa menunggu bagi seseorang pesakit batu karang yang menunggu giliran untuk menjalani pembedahan yang semakin hari semakin meningkat jumlahnya.
"Bagi pembedahan yang menggunakan kaedah konvensional sebelum ini, kami hanya mampu melaksanakan satu hingga dua kes sahaja dalam sehari tetapi melalui kaedah 'Supine PCNL' ini, lima kes dapat dilaksanakan dalam satu hari," ujar beliau lagi.
Teks: Mohd Hafiz Yaacob / Foto: Ehsan Unit Urologi Hospital USM
- Created on .
- Hits: 2103