PRODUK SEMULA JADI DAN KESAN SAMPINGAN
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Januari 2017 - Masyarakat Malaysia secara umumnya amat berminat dan tertarik dengan produk seperti kosmetik, wangian, makanan, makanan tambahan (suplemen) mahupun ubat-ubatan berasaskan “natural product” atau produk semula jadi yang dianggap berkesan dan selamat.
Produk semula jadi adalah sebatian kimia yang dihasilkan oleh organisma hidup atau benda hidup, dan ia mengandungi aktiviti biologi yang boleh merawat penyakit. Dalam bidang kimia perubatan ia dikenali sebagai metabolit sekunder atau pun bahan aktif yang terdiri daripada Alkaloid, Flavoid, Tannin, Kumarin, Steroid dan sebagainya.
Menurut Pensyarah Kanan Farmakologi dan Toksikologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Dasuki Sul’ain, terdapat banyak jenis herba yang selamat dan boleh dimakan serta tidak memberi kesan sampingan malah memberi kebaikan kepada badan contohnya halia yang dapat mengeluarkan angin dalam badan, kunyit menghaluskan kulit, serai, cekur, lengkuas dan sebagainya yang menjadi amalan turun temurun untuk kesihatan serta kecantikan.
“Namun begitu penekanan terhadap konsep “dos dan tindak balas” dalam bidang farmakologi dan toksikologi perlu diambil kira untuk menilai keberkesanan dan kemudaratan sesuatu herba yang hendak diambil atau dijadikan amalan seharian bagi meningkatkan kesihatan atau tujuan tertentu dalam kehidupan.
“Masyarakat umum sepatutnya mengambil langkah berhati-hati dalam menilai produk berasaskan herba terutamanya herba yang jarang kita dengar dan belum pernah digunakan," katanya.
Tambah Dasuki ketika bercakap dalam rancangan kesihatan bersama radio tempatan di sini pagi tadi, orang ramai diminta supaya tidak mempercayai sepenuhnya testimoni atau iklan daripada pengusaha atau agen pemasaran produk, bagi memastikan produk yang diambil itu berkeadaan bersih, baik, berkesan dan tidak mendatangkan kemudaratan akibat pengambilannya.
Nasihat Dasuki kepada masyarakat supaya mendapatkan pandangan doktor, pakar serta pihak yang arif berkenaan bahan semula jadi atau herba sebelum mengambil produk tersebut untuk kepentingan kesihatan pengguna itu sendiri. Bak kata pepatah mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
Teks & Foto: Abdul Aziz Latif
- Created on .
- Hits: 1138