PERANAN PAKAR BIUS AMAT PENTING DALAM PROSEDUR PEMBEDAHAN
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Januari 2017 - Seringkali kejayaan sesuatu pembedahan digambarkan dengan kehebatan pakar bedah yang melaksanakan pembedahan tersebut. Namun sedar atau tidak, kejayaan pembedahan tersebut turut sama pentingnya disumbangkan oleh kepakaran bius atau 'anestesiologi'.
Perlu disedari, kerjasama yang wujud antara pakar bius dan pakar bedah akan menjamin kejayaan dalam setiap prosedur pembedahan.
Apa jenis pembedahan sekali pun seperti pembedahan otak, jantung, rekonstruktif dan sebagainya, semuanya memerlukan pembiusan yang mana pembiusan merupakan perantara kepada semua cabang pembedahan.
Menurut Ketua Jabatan Anestesiologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. W Mohd Nazaruddin W Hassan, kepakaran pembiusan merangkumi soal pembiusan serta penjagaan keselamatan pesakit sebelum, semasa dan selepas pembedahan.
"Di Hospital USM, pesakit berisiko tinggi untuk pembedahan akan dirujuk ke Klinik Anestesia sekurang-kurangnya seminggu lebih awal sebelum pembedahan untuk menstabilkan pesakit dan meneliti sebarang risiko semasa pembedahan, serta komplikasi yang mungkin berlaku selain merancang kaedah terbaik pembiusan supaya proses pembedahan dapat berjalan lancar.
"Selain peranan dalam bilik bedah, pemantauan dan penjagaan keselamatan pesakit selepas pembedahan di Unit Rawatan Rapi atau Intensive Care Unit (ICU) turut menjadi tanggungjawab pakar bius. Selain itu, kepakaran bius berperanan dalam aspek 'acute pain service' atau perkhidmatan rawatan kesakitan akut sebaik sahaja selepas pembedahan sehingga 48 jam," katanya.
Tambah Nazaruddin yang juga mempunyai sub-kepakaran dalam bidang pembiusan pembedahan otak dan saraf (Neuro Anestesiologi), di Hospital USM terdapat beberapa cabang dalam kepakaran bius seperti 'Neuro-Anaesthesiology', 'Pain Specialist', 'Cardiothoracic Anaesthesia' dan 'Intensive Care'.
"Melalui sub-kepakaran Anestesiologi ini, telah membantu kemajuan Hospital USM dalam menyelesaikan kes-kes pembedahan kompleks yang berprofail tinggi dan cabang bagi bidang pembiusan ini akan terus berkembang seiring dengan perkembangan kes-kes pembedahan yang baharu dan lebih kompleks," jelasnya lagi.
Nazaruddin berkata, dengan adanya kepakaran Neuro Anestesiologi di Hospital USM contohnya, telah membantu kumpulan pakar bedah otak dan saraf (Neurosurgeon) menempa kejayaan terutama dalam pembedahan otak semasa pesakit sedar atau 'Awake Craniotomy'.
"Kes-kes 'Awake Craniotomy' yang kompleks ini tidak pernah dibuat di Malaysia sebelum ini dan Hospital USM menjadi pencetus dan perintis utama dalam bidang ini bermula antara tahun 2009 dan 2010.
"Sehingga kini, lebih kurang 20 orang pesakit telah menjalani pembedahan 'Awake Craniotomy' yang mana mereka ini adalah pesakit 'Movement Disorder', 'Parkinson', 'Epilepsy', dan ketumbuhan otak," ujarnya.
Jelas Nazaruddin lagi, cabaran bagi pembedahan 'Awake Craniotomy' cukup tinggi bagi seorang pakar bius dan ianya memerlukan kepakaran dan pengalaman untuk mengekalkan keadaan pesakit supaya tenang, tidak merasa sakit dan boleh berinteraksi semasa pembedahan dalam membantu pakar bedah membuang ketumbuhan tanpa mencederakan bahagian-bahagian otak yang penting untuk fungsi pesakit seperti percakapan, pergerakan dan deria rasa.
"Perancangan untuk tempoh lima hingga enam tahun akan datang dan dengan sokongan pusat pengajian, saya berharap agar dapat memenuhi semua sub-kepakaran pembiusan dengan mewujudkan sub-kepakaran seperti pakar rawatan rapi atau 'Intensivist', pembiusan pembedahan kanak-kanak atau 'Pediatric Anestesiologi', 'Acute Pain and Chronic Pain Specialist' dan pakar bius obstetrik.
“Hal ini akan membolehkan perkhidmatan pembiusan ditingkatkan ke tahap lebih tinggi, meluaskan lagi perkhidmatan pembedahan kepada masyarakat selain pengajaran kepada para pelajar," katanya.
Teks: Mohd Hafiz Yaacob / Foto: Abdul Aziz Latif
- Created on .
- Hits: 3756