PTPM KUKUHKAN KOLABORASI ANTARABANGSA
USM, PULAU PINANG, 11 Januari 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM) terus mengukuhkan kolaborasi di peringkat antarabangsa apabila sekumpulan pensyarah mengadakan lawatan rasmi ke Prince of Songkla University (PSU) Kampus Hatyai baru-baru ini.
Lawatan yang diketuai oleh Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya bertujuan menjalin kolaborasi dalam hal-hal akademik dan penyelidikan dengan Pusat Penyelidikan Inovasi Pendidikan dan Pengajaran dan Kecemerlangan Pembelajaran (EDIT) di PSU.
Menurut Wan Ahmad Jaafar, lawatan ini merupakan susulan Memorandum Perjanjian (MoA) yang telah ditandatangani oleh PTPM USM bersama-sama PSU pada tahun 2014.
“Lawatan ini bukanlah yang pertama kerana sebelum ini dua seminar pelajar siswazah telah dikendalikan selain pasukan PTPM turut bermesyuarat di Fakulti Pendidikan, Kampus Pattani untuk membincangkan secara terperinci mengenai rancangan masa hadapan dan aktiviti pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Jelasnya lagi, hasil perbincangan termasuklah usahasama program Sarjana yang menggalakkan mobiliti pelajar dan staf, pelantikan sebagai penyelia bersama dan pemeriksa luar, cadangan geran penyelidikan dan menjadi tuan rumah bersama untuk persidangan antara PTPM dan PSU.
“Ahli akademik dari kedua-dua pusat juga akan dijemput untuk menjadi pensyarah jemputan dalam kursus-kursus yang ditawarkan oleh PTPM dan EDIT,” tambahnya.
Yang turut serta dalam lawatan tersebut ialah ahli akademik PTPM Profesor Dr. Irfan Naufal Umar, Profesor Madya Dr. Mona Masood dan Profesir Madya Dr. Rozinah Jamaluddin.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1241