NC SERU PP KOMUNIKASI KE PERINGKAT GLOBAL
PULAU PINANG, 5 Januari 2017 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Isma hari ini mengadakan lawatan ke Pusat Pengajian Komunikasi (PPK).
Dalam lawatan ini, Asma menekankan dalam era globalisasi dan abad ke-21 kini, PPK perlu peka dengan perkembangan teknologi dan merekabentuk sistem pembelajaran selaras dengan kepesatan arus pembangunan ini.
Asma turut menyeru PPK untuk menjaga hubungan dengan dengan para alumninya yang terkenal dan menggunakan kemahiran mereka dalam membantu menjenamakan serta memposisikan PPK ke seluruh pelosok dunia.
"Dalam dunia kini yang turut memberi penekanan dalam kemajuan permainan elektronik (gamification) dan animasi (anime) serta pendidikan tinggi yang berkonsepkan 2u2i, saya juga menyeru PPK untuk berpandangan jauh dan bergerak pantas dalam perkara ini," katanya.
Tambahnya, PPK perlu melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa melalui pendekatan pendidikan cross-border/interdisplinary/multidisplinary serta pendidikan komunikasi antarabangsa agar pelajar dapat memperolehi pengalaman belajar dengan lebih luas, menjadi pemain antarabangsa (global player) serta meningkatkan kebolehpasaran diri.
Asma turut menyentuh agar PPK menggunakan jaringan APUCEN sebagai platform untuk bekerjasama dalam bidang komunikasi.
Sementara itu, Dekan PPK, Dr. Shuhaida Md. Noor turut mengadakan pembentangan yang menyentuh berkaitan latar belakang, misi, visi, strategi, hasil dan output pusat pengajian.
PPK kini mempunyai enrolmen seramai 697 orang pelajar ijazah sarjana muda dan pasca siswazah.
Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) yang juga pensyarah PPK, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein dan pensyarah-pensyarah PPK.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Ahmad Zulman Mohd Zain
- Created on .
- Hits: 1152