CERAMAH SOSIAL TINGKAT KEPEKAAN MASYARAKAT TERHADAP GOLONGAN OKU
USM, PULAU PINANG, 3 Januari 2017 – Program Talk Series anjuran Kelab Kerja Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) bersama golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) telah berlangsung dengan jayanya baru-baru ini dengan sesi ceramah kesedaran yang disampaikan oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Dr. Aznan Che Ahmad.
Menurut Aznan dalam ceramahnya, pekerja sosial dan guru pendidikan khas merupakan kumpulan yang bertanggungjawab besar dalam memastikan golongan OKU mempunyai masa depan yang cerah.
“Kedua-duanya merupakan profesion yang profesional yang dapat membantu golongan OKU menguruskan kehidupan mereka dengan baik malah bertanggungjawab memperbetulkan paradigma masyarakat terhadap ketidakupayaan OKU dalam melaksanakan sesuatu perkara,” katanya di hadapan hampir 300 orang peserta di Dewan Pembangunan Siswa 2.
Tambahnya, sejak kebelakangan ini, kita dapat melihat terdapat pelbagai kejayaan demi kejayaan yang telah dilakarkan oleh golongan OKU terhadap negara dan dunia.
Sementara itu, Yang Dipertua Kelab Kerja Sosial, Syahirah Bastari pula berkata, program ini dijalankan bersempena Hari Orang Kelainan Upaya Sedunia yang bertujuan membentuk pemikiran terbuka dalam kalangan peserta supaya tidak bersikap diskriminasi terhadap golongan OKU serta meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap kepentingan ilmu dan kemahiran dalam membantu golongan tersebut.
Tambah beliau lagi, program ini juga bertujuan membantu para pekerja sosial akan datang agar lebih peka dalam mengendalikan permasalahan sosial yang berkaitan dengan isu ini di samping mengubah persepsi masyarakat terhadap peranan yang perlu dipraktikkan oleh pekerja sosial.
Bagi pengarah projek, Nurul Naimah Azizan pula, program ini diadakan dengan tujuan membolehkan masyarakat lebih mengenali golongan OKU dengan lebih mendalam kerana tidak semua masyarakat cakna dan mengetahui bahawa terdapat pelbagai jenis kepelbagaian keupayaan yang dialami oleh golongan OKU misalnya autistik, cerebral palsy dan sebagainya.
“Program ini juga telah menyedarkan mahasiswa dan masyarakat bahawa golongan ini sebenarnya mempunyai potensi yang sangat besar dan tidak harus didiskriminasi, dan mereka ini lebih hebat daripada manusia normal yang lain,” jelas pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan ini.
Yang turut hadir adalah Pengerusi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia Sabatiah Binti Imam Rahman dan program ini telah dirasmikan oleh Penasihat Kelab Kerja Sosial USM Dr. Paramjit Singh Jamir Singh.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Kelab Kerja Sosial USM
- Created on .
- Hits: 1967