PPIK ANJUR SEMINAR TERJEMAHAN, BAHASA DAN BUDAYA MELAYU-CHINA 2017 (STBBMC)
Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi (UniTI), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM) bersama dengan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa dan Budaya Asia, Guangdong University of Foreign Studies, China akan menganjurkan Seminar Terjemahan, Bahasa Dan Budaya Melayu-China (STBBMC) pada 13-14 Mei 2017 di Guangdong University of Foreign Studies, China.
Menurut Penyelaras Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi & Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi PPIK USM, Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong, hubungan antara alam Melayu dan benua China dalam bidang politik, ekonomi dan sosial sudah terjalin sejak ratusan tahun dahulu dan interaksi peradaban Melayu-China yang berlaku ini sesungguhnya telah memperkaya khazanah ensiklopedia kedua-dua bangsa.
"Dalam konteks ini, peranan terjemahan serta aktiviti silang bahasa dan budaya yang lain menjadi peranti yang semakin penting bagi memastikan kemampanan interaksi peradaban Melayu-China," katanya.
Tambahnya, seminar ini bermatlamat untuk meneroka dan membincangkan isu-isu dalam aktiviti terjemahan, bahasa dan budaya Melayu-China; membuka gelanggang untuk para pengkaji dan peminat dalam pelbagai disiplin yang melibatkan Melayu-China untuk berkongsi penemuan baharu, pengetahuan dan pengalaman dalam bidang masing-masing; dan menghimpunkan resolusi bagi memastikan kemampanan interaksi peradaban Melayu-China.
Subtopik atau tema kecil adalah berkaitan Pengajaran dan pembelajaran terjemahan, interpretasi dan bahasa Melayu; Pendekatan dan kaedah penterjemahan dan interpretasi; Terjemahan teks sastera, teknikal dan bukan teknikal; Bandingan bahasa, budaya dan sastera; Hubungan diplomatik alam Melayu-China; Tamadun dan falsafah Melayu dan China; dan Sejarah Melayu-China.
Yuran pembentang dan peserta (Malaysia dan di luar China) RM200.00 (sebelum 15 Februari 2017), RM300.00 (selepas 15 Februari 2017) dan butiran pembayaran adalah seperti Nama penerima: Bendahari USM; Nama bank: Bank Muamalat Malaysia Berhad; Nombor akaun: 0702-0001054-71-6. Bukti pembayaran perlu dimajukan kepada urus setia melalui emel
Tarikh akhir penyerahan abstrak (200-250 patah perkataan) pada 15 Januari 2017; Notis penerimaan pada 20 Januari 2017; dan Kertas kerja penuh (1600-2000 patah perkataan) pada 20 Mac 2017.
Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong atau emel ke
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1118